SHAH ALAM: Selangor terus menekankan kepentingan dalam sektor pendidikan bermula di peringkat awal sehingga ke pendidikan tinggi dalam usaha membentuk jati diri dengan nilai kehidupan dan kemanusiaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sektor pendidikan memainkan peranan penting bagi membolehkan golongan muda mendepani cabaran sosial yang kini di luar batas kemanusiaan seperti kejadian bunuh ahli keluarga sejak kebelakangan ini.
Katanya, dunia pendidikan amat penting untuk meletakkan keseimbangan di antara keinginan diri sendiri dan meneruskan keterhubungan dengan dunia luar.
“Kalau tidak, kita akan menjadi tempang. Masyarakat masa depan kita akan mendepani cabaran yang besar, yang kadang-kadang di luar daripada batas logika, akal dan fikiran.
“Seperti tidak wujud dan tidak mungkin berlaku tetapi itulah realiti dunia berdepan cabaran. Beberapa hari lalu satu keluarga meninggal dunia bermula daripada seorang anak membunuh ibunya, membunuh keluarganya dan akhirnya mengakhiri hayatnya sendiri. Ada cucu membunuh nenek dan datuk.
“Ia mengingatkan kita dan menyedarkan kita bahawa fungsi pendidikan sangat penting di saat orang boleh mendapat informasi kerana informasi yang banyak belum tentu membijakkan kita.
“Sebab itu perlunya anak-anak dididik, pelajar-pelajar universiti terus dipandu daripada segi kemanusiaan dan nilai kehidupan demi melaksanakan kehidupan yang aman dan stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Berbuka Puasa Dato’ Menteri Besar Selangor bersama Guru dan Komuniti Pendidik Negeri Selangor 2026 di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di sini, malam ini.
Sempena majlis itu, beliau turut menyaksikan pertukaran dokumen nota persefahaman antara Yayasan Selangor dengan TYMBA Education, DHS Hospitality Academy, ATC College, Taleem (M) Sdn Bhd dan TPIS Almotahida dengan visi memastikan pendidikan sedia ada sejajar dengan keperluan pasaran kerja serta perkembangan teknologi semasa.
Amirudin berkata Selangor tegas dalam menjadikan pendidikan sebagai kunci untuk terus kekal berjaya memandangkan sumber manusia adalah tonggak utama negeri.
“Kita tiada emas atau sumber bumi untuk digali tetapi kita ada sumber manusia. Jika tiada ilmu pendidikan, kita berdepan cabaran yang sangat besar untuk mengekalkan kecemerlangan
“Selepas ini kita akan teliti segenap aspek, dari sekecil baucar buku sehingga 50 peratus pendidikan percuma di Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Islam Selangor (UIS). Kita angkat pendidikan bersama-sama,” katanya.-BH Online
