JOHOR, 21 Februari – Isu gangguan bekalan air di Pontian serta Kluang, Johor, bukan berpunca daripada pembangunan pusat data.
Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, isu gangguan air di dua daerah itu disebabkan kemarau berpanjangan dan penyusutan paras sumber air mentah sekali gus menyangkal dakwaan tidak bertanggungjawab dan berunsur politik.
Jelas beliau, tiada projek pusat data di Simpang Renggam atau Benut, seperti dakwaan tersebut.
Pusat data yang berhampiran terletak di kawasan Perindustrian Sedenak, Kulai dan menerima bekalan air daripada Loji Rawatan Air Semanggar, yang bukannya dari Empangan Machap, Kluang.
Ketika ini, bekalan air berjadual yang dilaksanakan sejak 7 Februari lalu di Simpang Renggam dan Benut, ditamatkan dan semua rumah mendapat bekalan air seperti biasa.
Keputusan itu dibuat susulan, perkembangan positif paras air Empangan Machap serta LRA yang kini beroperasi secara optimum selepas tempoh pemantauan.-Berita RTM
