Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Semakan pengambilan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2 Tahun 2026 boleh dibuat bermula hari ini khusus bagi calon yang dilahirkan pada tahun 2008.

Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dalam kenyataan memaklumkan, PLKN 3.0 Siri 2 2026 akan dilaksanakan bermula 25 April hingga 8 Jun ini selama 45 hari, membabitkan empat siri latihan bagi tahun ini.

Menurut kenyataan itu, semakan bagi bakal pelatih boleh dibuat menerusi Sistem ePLKN 3.0 bermula jam 5 petang hari ini melalui pautan https://plkn.mod.gov.my/pelatih/semakan/form

“Bagi memastikan kelancaran proses pendaftaran dan pentadbiran, pelatih yang terpilih selepas melakukan semakan perlu mengesahkan maklum balas tawaran atau kehadiran melalui sistem ePLKN 3.0 sehingga 28 Februari 2026,” katanya.

JLKN memaklumkan, pengumuman berkaitan siri latihan PLKN 3.0 seterusnya akan dibuat secara berperingkat dan bakal pelatih diingatkan supaya sentiasa peka dengan makluman melalui saluran rasmi jabatan berkenaan. 

Dalam kenyataan sama, JLKN menegaskan kehadiran pelatih yang terpilih adalah diwajibkan. 

“Kegagalan untuk melapor diri tanpa alasan munasabah akan dianggap sebagai ingkar arahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut peruntukan sedia ada mengikut Seksyen 18(1) Akta Latihan Khidmat Negara,” katanya. 

Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Unit Pelatih, Sektor Latihan JLKN di talian 03-4013 3612, 3613, 3614, 3604, 3603 atau 3626, atau melayari laman sesawang rasmi https://jlkn.mod.gov.my. -BH Online