Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menganjurkan 1,898 siri Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di seluruh negara sepanjang bulan Ramadan, tahun ini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pelaksanaan inisiatif itu menjadi salah satu platform untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat, khususnya golongan memerlukan.

Menurutnya, penganjuran berskala besar itu turut mengambil kira perubahan corak perbelanjaan masyarakat terutamanya umat Islam sepanjang bulan Ramadan, termasuk peningkatan pembelian bahan mentah untuk juadah berbuka dan persiapan menyambut Syawal.

“Selain membeli juadah berbuka di bazar Ramadan, ramai juga akan memilih untuk menyediakan juadah berbuka di kediaman masing-masing.

“Masyarakat kita akan mulakan persiapan untuk menyambut Syawal dengan membuat pelbagai jenis biskut dan kuih tradisi khususnya. Perbelanjaan pastinya akan bertambah. 

“Justeru, program intervensi seperti PJRM amat penting sebagai pilihan mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih murah berbanding harga pasaran,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa menerusi peruntukan khusus yang diterima setiap tahun, KPDN dapat membuat perancangan dan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Katanya, antara penambahbaikan yang dibuat setelah PJRM diinstitusikan sebagai inisiatif tetap di bawah agenda NACCOL adalah penganjuran PJRM membabitkan semua negeri setiap bulan; tiga kali bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 40 zon di Wilayah Persekutuan.

“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat tarikh dan lokasi PJRM di sekitar mereka dengan mengakses takwim disediakan menerusi pautan https://pjrm.kpdn.gov.my,” katanya.

Tambah Armizan, berdasarkan tinjauannya di Pasar Raya Borong Matahari Cawangan Pandan Indah, hari ini, mendapati pelaksanaan PJRM berjalan lancar dengan penawaran diskaun membabitkan 65 jenis barangan.

Menurutnya, pasar raya itu menjadi salah satu premis pilihan bagi peniaga kecil untuk membeli barangan dan sebanyak lima terminal SARA disediakan lokasi berkenaan.

“Saya sempat bertanya pengurus pasar raya berkaitan bekalan minyak masak paket. Menurutnya, sejak pelaksanaan aplikasi mobile e-coss, pasar raya ini mendapat sumber bekalan lebih banyak berbanding dahulu. 

“Bagi bulan Januari 2026, bekalan yang mereka terima adalah sebanyak 20,400 paket minyak masak paket untuk dijual kepada pengguna dengan maksimum tiga paket per transaksi,” jelasnya.-BH Online