PUTRAJAYA: Ramadan adalah ‘madrasah’ terbaik untuk refleksi serta menilai diri, selain memperkukuh fokus, meningkatkan mutu kerja dan memperbaiki segala kelemahan yang ada, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, Ramadan adalah ‘sekolah’ yang menghimpunkan seluruh lapisan masyarakat sama ada mufti, menteri mahupun rakyat biasa, untuk kembali bermuhasabah dengan penuh tawaduk dan rendah diri.
“Muhasabah dan ambil kesempatan ini untuk memperbaiki diri kita masing-masing.
“Ini bukan sekadar masa untuk mengajar atau berkuliah kepada orang lain agar perbaiki diri, tetapi ruang untuk kita menoleh ke dalam diri, muhasabah, perbaiki kelemahan kita dan meningkatkan keupayaan dalam pelbagai bidang serta dimensi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Ihya’ Ramadan, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalannya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Anwar berkata, tuntutan berpuasa bukan sekadar tradisi, sebaliknya ujian keikhlasan, disiplin dan kekuatan diri yang telah dilalui umat terdahulu sebagaimana dirakamkan dalam al-Quran.
Katanya, ulama mengaitkan Ramadan sebagai ‘madrasah ruhiyah’ yang menekankan pembinaan kekuatan dan disiplin diri, di samping menyemai keprihatinan terhadap golongan miskin serta mereka yang memerlukan.
Beliau berkata, keutamaan sepanjang Ramadan ialah merebut peluang meningkatkan keupayaan diri dalam pelbagai bidang kehidupan.
“Sebab itu ulama berpesan tarbiah Ramadan ini mesti membawa peningkatan. Bagaimana kita tahu ada peningkatan? Kita akan menilainya pada Syawal nanti… apakah sepanjang Ramadan ini prestasi, iman, akhlak, sahsiah, mutu kerja, komitmen serta kebersihan diri dan jiwa kita itu lebih baik daripada bulan sebelumnya,” katanya.
Perdana Menteri berkata, setiap individu perlu memasang tekad untuk memperbaiki diri secara menyeluruh, termasuk memperkukuh hubungan dengan al-Quran, meningkatkan kualiti ibadah dan solat, serta memantapkan disiplin kerja.
Dalam pada itu, Anwar berkata, meskipun Ramadan disemarakkan dengan amalan seperti ke masjid, bersedekah dan menunaikan umrah, kelemahan seperti ketirisan serta rasuah tidak boleh terus berulang.
“Kita sudah mengambil ujian Ramadan bertahun-tahun, (tetapi) beberapa kebejatan dan kelemahan masih kita ulang. Ini peringatan kepada kita, kepada saya dan kepada semua,” katanya.-BH Online
