Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, meninggal dunia pada usia 84 tahun, hari ini.

Kematian Allahyarham disahkan melalui satu kenyataan keluarganya.

Bagaimanapun, keluarga Allahyarham tidak memaklumkan punca kematiannya.

Difahamkan, Allahyarham sebelum ini menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM pada awal bulan ini.

BH dimaklumkan bahawa solat jenazah akan diadakan di Musolla Taman Selatan, Presint 20 di sini, selepas waktu asar hari ini.

Jenazah kemudian akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Putrajaya di Presint 20.

Allahyarham Abdul Hamid dilahirkan di Permatang Tinggi Bakar Bata, Kepala Batas, Pulau Pinang, pada 18 April 1942. 

Memulakan pendidikan awal di Sekolah Melayu Paya Keladi, Allahyarham kemudian didaftarkan masuk St Mark’s Branch School di Perai sebelum meneruskan pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan St Mark, Butterworth.

Allahyarham memperoleh Gred 1 dalam peperiksaan Senior Cambridge dan Sijil Pelajaran Malaysia yang membolehkannya meneruskan pelajaran ke Tingkatan Enam di St Xavier’s Institution, Pulau Pinang.

Beliau kemudian melanjutkan pengajian di Fakulti Undang-undang di Universiti Singapura. 

Abdul Hamid memasuki perkhidmatan kehakiman dan perundangan pada Mei 1969.

Allahyarham berpengalaman menjadi Majistret, Presiden Mahkamah Sesyen, Penolong Pengarah Biro Bantuan Guaman, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Penasihat Undang-Undang Negeri, Peguam Kanan Persekutuan di Jabatan Hasil Dalam Negeri, dan Ketua Bahagian Pendakwaan sebelum dilantik menjadi Pesuruhjaya Kehakiman pada 1990 di Pulau Pinang.

Dua tahun kemudian, Allahyarham dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dan pada 2002, beliau dilantik menjadi Hakim Mahkamah Rayuan.

Setahun kemudian, Abdul Hamid dilantik menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik menjadi Presiden Mahkamah Rayuan pada 5 September 2007.

Allahyarham Abdul Hamid dilantik menjadi Ketua Hakim Negara pada 11 Disember tahun sama dan berkhidmat hingga bersara pada 18 Oktober 2008.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Toh Puan Hamidah Choong Abdullah, dan empat anak.-BH Online