Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 18 Februari – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Ops Pantau 2026 bermula 19 Februari hingga 20 Mac depan bagi memantau kepatuhan peniaga terhadap undang-undang sepanjang Ramadan sehingga menjelang Aidilfitri.

Menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi, kementerian itu memaklumkan operasi berkenaan memberi tumpuan kepada pemantauan bekalan dan harga barangan keperluan utama rakyat pada musim perayaan.

“Antara barangan dipantau termasuk gula, ayam, telur ayam, minyak masak, tepung gandum, barangan basah serta bahan membuat kuih-muih.

“Pemantauan dijalankan bagi memastikan setiap barangan mempamerkan tanda harga, tiada unsur pencatutan serta barangan kawalan dijual mengikut harga yang diwartakan kerajaan,” menurut kenyataan tersebut.

Operasi itu turut melibatkan premis jualan murah bagi mengelakkan iklan mengelirukan pengguna selain pemantauan di bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri bagi membanteras penjualan barangan tiruan.

Selain itu, aktiviti penjualan dalam talian yang melanggar undang-undang turut dipantau, dengan pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara ditugaskan di lokasi strategik termasuk pasar raya, pasar awam, bazar serta platform e-dagang bagi melindungi pengguna daripada peniaga tidak beretika.-BH Online