KUALA LUMPUR, 17 Februari – Usaha pemuliharaan bangunan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di Jalan Maharajalela di sini yang mencecah usia 100 tahun, perlu dilaksanakan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu bagi memudah cara keperluan dalam memenuhi sebarang syarat bagi membolehkan bangunan berkenaan diiktiraf sebagai bangunan bersejarah dan warisan negara.
Sehubungan itu, beliau meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh menyelaraskan usaha pemuliharaan bangunan KLSCAH dan bekerjasama dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Fadlun Mak Ujud bagi memudah cara keperluan berkenaan.
Perdana Menteri turut mengarahkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing bersama semua jawatankuasa berkaitan untuk duduk semeja bagi membincangkan dan merealisasikan usaha pengiktirafan berkenaan.
“Bangunan ini hampir mencecah 100 tahun, mempunyai keperluan untuk mendapatkan mendapat pengiktirafan kerajaan, jadi Hannah dan Datuk Bandar akan selesaikan sebelum bawa kepada saya. Jangan risau soal status tanah. Kita masyarakat yang prihatin, dan kita mahu pulihara warisan ini.
“Kita anggap bangunan ini sebagai bangunan bersejarah, warisan, justeru kita beri pertimbangan khas. Maka, jawatankuasa itu perlu bekerjasama supaya bangunan ini boleh dipulihara,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Tahun Baharu Cina anjuran KLSCAH di sini, hari ini.
Menurut laman web Jabatan Warisan Negara, bangunan KLSCAH mula dibina pada 1910 sebelum siap sepenuhnya pada 1923, dengan antara tujuan utama pembinaannya sebagai pusat kebajikan kaum Cina di Malaysia, terutama dalam sektor ekonomi dan budaya.-Berita RTM
