BANDARAYA GAZA: Pejabat media Gaza pada Isnin memaklumkan bahawa hanya 29 peratus pematuhan direkodkan dalam pembukaan semula lintasan sempadan Rafah antara Mesir dan Gaza susulan sekatan ketat Israel, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam satu kenyataan, pejabat media Gaza berkata, antara 2 Feb hingga 15 Feb, hanya 811 pengembara dapat menyeberangi lintasan Rafah dari kedua-dua arah daripada keseluruhan 2,800 individu yang dijangka melakukan perjalanan.
Pejabat itu memaklumkan, seramai 455 pengembara dibenarkan keluar dari Gaza, 356 tiba, manakala 26 yang lain diarahkan berpatah balik sepanjang tempoh berkenaan.
Menurut pejabat itu, Israel membuka semula bahagian lintasan di sebelah Palestin pada 2 Feb lepas secara sangat terhad.
Pejabat media itu berkata, pihaknya tidak dimaklumkan mengenai kriteria yang digunakan untuk menentukan jumlah keseluruhan pengembara yang dijadual menyeberangi lintasan berkenaan.
Media Mesir dan Israel sebelum ini melaporkan, kira-kira 50 rakyat Palestin dijangka menyeberangi lintasan itu setiap hari untuk masuk ke Gaza dan jumlah yang sama ke Mesir, termasuk pesakit serta pengiring mereka, namun pejabat itu berkata perkara berkenaan tidak dilaksanakan sepenuhnya.
Anggaran Palestin di Gaza menunjukkan kira-kira 22,000 individu yang cedera dan sakit perlu melakukan perjalanan ke luar wilayah itu untuk mendapatkan rawatan perubatan susulan sektor kesihatan yang lumpuh.
Angka separa rasmi turut menunjukkan kira-kira 80,000 rakyat Palestin telah mendaftar untuk kembali ke Gaza, mencerminkan penolakan berterusan terhadap pemindahan paksa walaupun berlaku kemusnahan yang meluas.
Perjanjian gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat (AS) telah berkuat kuasa di Gaza sejak 10 Okt lepas, menghentikan serangan Israel selama dua tahun yang mengorbankan lebih 72,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 171,000 yang lain sejak Oktober 2023.
Sejak perjanjian itu berkuat kuasa pada 10 Okt 2025, tentera Israel telah melakukan ratusan pelanggaran melalui bedilan artileri dan tembakan, mengorbankan 603 rakyat Palestin serta mencederakan 1,618 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.– BERNAMA-ANADOLU
