Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan menubuhkan beberapa rejimen pakar dalam sektor media dan penyiaran, petroleum dan gas, kesihatan, geospatial serta keselamatan bagi memperluaskan ekosistem pasukan simpanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selaras dengan keperluan dan cabaran semasa negara. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata sektor berkenaan dikenal pasti sebagai antara bidang strategik yang memerlukan pembabitan tenaga pakar dalam memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara.

Penyertaan dalam pasukan simpanan tidak dihadkan umur, sebaliknya terbuka kepada sesiapa sahaja yang mempunyai semangat untuk mempertahankan negara. 

“Tidak ada had umur, asalkan ada semangat untuk mempertahankan negara, tidak kira berapa usia. Dalam menjayakan konsep pertahanan menyeluruh, kita menegaskan bahawa tanggungjawab mempertahankan negara tidak boleh diletakkan kepada angkatan tentera semata-mata.

“Rakyat juga mempunyai peranan. Antaranya memastikan keamanan dan kestabilan dalam negara terus terpelihara supaya angkatan tentera dapat memberi tumpuan kepada ancaman luar dan tidak perlu berdepan kekacauan dalam negara sendiri,” katanya berucap pada Majlis Peluncuran Skuadron Rapid Rail 50 Rejimen Pakar Keretapi RAJD (AW) di Dewan Tan Sri Jamaludin Ibrahim, Menara PRASARANA, di sini, hari ini. 

Skuadron Rapid Rail 50 Rejimen Pakar Keretapi

Mengenai Skuadron Rapid Rail 50 Rejimen Pakar Keretapi RAJD (AW), Mohamed Khaled, berkata skuadron itu berperanan sebagai pasukan pakar yang menyokong Tentera Darat dalam aspek perlindungan, sokongan teknikal serta pemulihan infrastruktur rel bandar semasa kecemasan, bencana alam, sabotaj atau gangguan operasi berskala besar. 

Keupayaan itu amat signifikan dalam memastikan kesiapsiagaan sistem rel negara sentiasa terjamin termasuk menghadapi ancaman keselamatan bukan tradisional.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, setiap lapisan masyarakat boleh memainkan peranan masing-masing termasuk pengamal media dalam meningkatkan kesedaran rakyat mengenai kepentingan menyokong usaha ATM.

“Mereka juga boleh mengikuti operasi tertentu supaya memahami gerakan sebenar yang dilaksanakan oleh ATM dan melaporkannya secara tepat. 

“Angkatan tentera adalah antara institusi yang paling diyakini rakyat. Jika keyakinan ini tidak diperkukuh, bagaimana kita mahu mempertahankan negara. Sebab itu peranan pihak media yang bijak menulis dan tidak menyebarkan perkara tidak benar amat penting,” katanya. 

Tambahnya, penubuhan rejimen pakar media dan penyiaran penting bagi membantu ATM memperkukuh penyampaian maklumat serta menangkis penyebaran maklumat tidak tepat khususnya di media sosial. 

“Mereka boleh menyertai Askar Wataniah kerana angkatan tentera memerlukan kepakaran ini, termasuk dalam penulisan dan penerbitan bahan yang menyokong usaha mempertahankan negara. 

“Kita sedar bahawa pembentukan pasukan simpanan yang mantap memerlukan kerjasama dan sokongan pelbagai pihak termasuk rakyat serta majikan,” katanya.-Berita RTM