Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan nilai rampasan RM42,878.52 menerusi Ops Pantau yang dilaksanakan pada tahun lalu.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata daripada pelaksanaan Ops Pantau, sebanyak 70,906 pemeriksaan dan 390 kes dihasilkan di seluruh negara.

Susulan itu, beliau berkata, pelaksanaan Ops Pantau tahun ini akan memberi tumpuan kepada pemeriksaan dan pemantauan lebih bersasar sepanjang Ramadan bermula 19 Februari hingga 20 Mac ini.

“Empat perkara akan diberi tumpuan sepanjang pelaksanaan Ops Pantau tahun ini, antaranya bekalan dan harga barang pada Ramadan dan Aidilfitri seperti gula, ayam, telur ayam, minyak masak, tepung gandum, barang basah dan barangan untuk membuat kuih-muih.

“Langkah ini memastikan barangan dijual ada tanda harga, tidak berlaku pencatutan dan barang kawalan dijual mengikut harga diwartakan kerajaan. 

“Ini termasuk barangan tersenarai mengikut Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2026,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian pembukaan Burger King Benoni Drive Thru dan penyerahan sumbangan bakul makanan sempena Tahun Baharu Cina di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya akan memantau premis perniagaan yang mengadakan jualan murah supaya tidak berlaku iklan mengelirukan pengguna.

“Kita juga memantau bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri supaya tidak ada aktiviti penjualan barangan tiruan serta penjualan secara dalam talian yang bertentangan undang-undang berkuat kuasa.

“Pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara akan ditugaskan di lokasi strategik dan tempat sasaran seperti bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar pagi, pasar malam, pasar tani, pasar raya besar, pasar raya, pasar mini, kedai runcit dan penjualan secara dalam talian.

“Ini bagi melaksanakan pemeriksaan dan penguatkuasaan serta melindungi pengguna daripada peniaga tidak beretika.

“Pada masa sama, KPDN akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan peniaga di bazar Ramadan dan Aidilfitri mematuhi perundangan dikuatkuasakan sepanjang tempoh pelaksanaan Ops Pantau ini,” katanya.

Sementara itu, Armizan berkata, mana-mana peniaga melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] dan boleh dikenakan penalti.

“Antara kesalahan dikenakan tindakan adalah gagal meletakkan tanda harga, menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum dan gagal meletakkan tanda harga merah jambu bagi barangan harga terkawal,” katanya.-BH Online