BALIK PULAU: Kementerian Kewangan (MOF) akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi menjalankan analisis dalam usaha memastikan pengukuhan nilai ringgit dapat diterjemahkan kepada peluang menurunkan harga barang pengguna khususnya membabitkan barangan import.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata pengukuhan ringgit yang meningkat sebanyak kira-kira 14 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sejak awal tahun lalu serta sekitar kenaikan 6.5 hingga 7.0 peratus jika dibandingkan dengan mata wang utama dunia lain.
“Alhamdulillah, itu bagus untuk barang-barang import yang datang ke Malaysia kerana harga barangan akan jadi lebih baik untuk diimport. Isu kita sekarang ialah untuk memastikan bila pengimport bawa masuk barang, mereka juga melalui kos lebih rendah itu kepada rakyat dan ini satu perkara kita masih menganalisis dan bekerjasama dengan KPDN.
“Jadi, kita akan pantaulah untuk memastikan kalau ada peluang untuk mengurangkan harga barang-barang import, kita akan juga melihat bagaimana caranya untuk menggalakkan penurunan harga,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Projek Kampung Angkat MADANI Pulau Betong, di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Amir Hamzah menjelaskan, tidak semua harga barangan akan turun serta-merta kerana terdapat kos lama yang masih mempengaruhi harga semasa dan perlu diseimbangkan dengan keadaan ekonomi semasa.
“Tidak semua (harga barang) yang akan turun. Kerana kos mungkin sudah naik beberapa tahun lalu. Jadi kita kena mengimbang kos dengan apa yang ada sekarang. Namun yang pentingnya bila ada kenaikan ringgit, peningkatan itu membantu mengurangkan kos keseluruhan import,” katanya.
Menurutnya, pengukuhan ringgit juga memberi kesan kepada kemampuan rakyat berbelanja di luar negara, termasuk meningkatkan peluang melancong ke negara serantau seperti Thailand dan Indonesia.
Dalam pada itu, mengulas prestasi ekonomi semasa, Amir Hamzah berkata, berdasarkan data dikeluarkan Jabatan Perangkaan (DOSM) serta penjelasan Bank Negara Malaysia (BNM), ekonomi negara berada pada kedudukan kukuh dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.3 peratus pada suku keempat dan 5.2 peratus bagi keseluruhan tahun lalu, antara tertinggi dalam kalangan negara ASEAN.
Beliau berkata, prestasi ekonomi itu mencerminkan keberkesanan usaha kerajaan dalam melaksanakan pembaharuan ekonomi menyeluruh, termasuk sokongan perlindungan sosial dan intervensi bersasar, dengan matlamat memastikan limpahan pertumbuhan dapat dirasai oleh rakyat pelbagai lapisan.
Tambahnya, pengukuhan ringgit dan prestasi ekonomi yang lebih baik memberi lebih keyakinan kepada rakyat, termasuk dari segi perbelanjaan dan mobiliti, yang disifatkan sebagai petunjuk peningkatan daya beli serta kestabilan ekonomi negara.-BH Online
