KUALA LUMPUR: Selepas 18 tahun terpisah daripada keluarga, wanita warga Malaysia yang terkandas di Lombok, Indonesia, akhirnya selamat dibawa pulang ke tanah air, semalam.
Perkara itu disahkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, Norida Akmal Ayob, 45, sebelum ini mengikuti suaminya yang juga warga Indonesia, ke Lombok bersama anak perempuan mereka dan menetap di sana sejak sekian lama.
“Bagaimanapun, perkahwinan mereka tidak kekal dan akhirnya Norida hidup sendirian, susah dan daif.
“Dia mencari rezeki sebagai tukang sapu demi meneruskan hidup bersama anak-anak setelah berpisah dengan suaminya yang berkahwin lain,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, keluarga Norida membuat rayuan kepada kerajaan supaya membantu membawa pulang wanita berkenaan selepas 18 tahun terkandas di Lombok.
Norida juga didakwa hidup dalam serba kekurangan dan dibayangi ketakutan akibat ugutan bunuh daripada bekas suaminya.
Mengulas lanjut, Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, usaha membawa pulang Norida bersama dua anaknya berjaya hasil kerjasama Wisma Putra melalui Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Jabatan Imigresen Malaysia dan pihak berkuasa Indonesia, khususnya jabatan imigresen negara berkenaan.
Beliau berkata, seorang pegawai turut dihantar ke Lombok bagi membantu urusan membawa pulang membawa pulang Norida dan anak-anaknya ke Malaysia.
Katanya, Norida mempunyai dua anak iaitu Nur Fateen Akmadiana, lahir di Malaysia dan berstatus warga Malaysia, manakala Muhamad Sabani Daniel warga Indonesia kerana dilahirkan di negara berkenaan.
“Kisah dia (Norida) mahu kembali ke Malaysia diketahui apabila keluarganya di Kampung Bukit Sapi, Lenggong datang menemui saya dan memaklumkan keadaan Norida.
“Saya dimaklumkan dia berada dalam keadaan serba kekurangan, anak-anaknya tidak dapat meneruskan persekolahan dan terbiar.
“Alhamdulillah, mereka kini selamat kembali ke tanah air selepas hampir dua dekad terpisah daripada keluarga,” katanya.-BH Online
