Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA, 12 Februari – Rakyat perlu memahami saluran serta proses perundangan dalam menguruskan isu sensitif bagi mengelakkan tindakan diambil mengikut pertimbangan peribadi yang boleh mencetuskan ketegangan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan setiap isu perlu ditangani berlandaskan undang-undang serta bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya penyelesaian dapat dicapai secara teratur dan harmoni, khususnya dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

Kekeliruan terhadap prosedur sedia ada boleh menimbulkan salah faham, justeru agensi berkaitan serta PBT perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam memberi penerangan kepada orang ramai mengenai langkah yang perlu diambil.

“Mungkin ramai yang kurang tahu, kurang fasih apakah saluran itu perlu ada pelantikan peguam yang pada setelah diberikan surat saman itu dan tidak ada apa-apa tindakan maka perlu dibawa ke mahkamah.

“Ini proses di mahkamah dan setelah mahkamah memutuskan bailif dan pihak penguasa tempatan akan mengambil tindakan. Jangan kita mengambil tindakan bagi pihak PBT. Kita bukan PBT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Menara Komunikasi, di sini.

Fahmi turut berharap semua pihak menggunakan saluran yang betul dalam menyuarakan aduan atau menyelesaikan pertikaian bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.-Berita RTM