SUNGAI BULOH, 11 Februari – Program Kembara Revolusi TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) 2026 bermula dengan penglibatan enam buah sekolah di Selangor dan Perak, sebelum diperluaskan ke zon utara, timur dan selatan negara secara berperingkat.
Siri pertama program itu antaranya melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari di Bagan Datuk dan SMK Seri Manjung di Perak, sebagai langkah awal memperluas kesedaran mengenai TVET dalam kalangan pelajar.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, program berkenaan bukan sekadar jelajah atau pameran bergerak, sebaliknya mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI menjadikan pembangunan kemahiran sebagai tunjang pertumbuhan ekonomi negara.
“Siri jelajah selama dua hari di enam lokasi di Selangor dan Perak memberi ruang kepada pelajar mendapatkan penerangan menyeluruh mengenai program latihan, hala tuju kerjaya serta kelebihan menguasai kemahiran teknikal dalam pasaran kerja semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kembara Revolusi TVET 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sungai Buloh, di sini, hari ini.
Program tersebut disertai 120 peserta bermotosikal daripada pelbagai agensi bawah Kementerian Sumber Manusia, dengan peranan menyampaikan maklumat serta meningkatkan kefahaman berkaitan laluan kerjaya berasaskan kemahiran.
Datuk Seri R. Ramanan turut memaklumkan bahawa kekuatan TVET terletak pada kadar kebolehpasaran graduan yang tinggi mencecah 95.5 peratus, selain kemahiran teknikal kini menjadi antara keperluan utama industri.
“industri masa kini berdepan permintaan tinggi terhadap tenaga kerja berkemahiran dalam bidang kritikal seperti kecerdasan buatan, robotik, automasi dan teknologi hijau.
“TVET bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya merupakan laluan kerjaya utama yang menjanjikan masa depan lebih cerah,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM200,000 kepada sekolah berkenaan bagi kerja menaik taraf dewan, selain RM30,000 yang telah disalurkan sebelum ini untuk pembaikan kecil.
Usaha memperkukuh prasarana pendidikan selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI untuk memastikan pelajar menikmati persekitaran pembelajaran yang kondusif serta bersedia menyertai revolusi kemahiran negara.-Berita RTM
