Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PARLIMEN, 10 Februari– Keperluan meminda undang-undang sedia ada sedang diteliti bagi membolehkan bekas banduan diberi peluang kedua, khususnya dalam aspek pekerjaan, sekali gus mengurangkan stigma masyarakat terhadap golongan itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sehingga kini seramai lebih 2.6 juta individu direkodkan sebagai bekas banduan sejak 1969, dengan hampir separuh daripadanya melibatkan sabitan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya.

“Di pihak kerajaan, kita boleh ikhtiarkan pindaan undang-undang bagi membolehkan peluang kedua diberikan.

“Tanggungjawab kita bersama ialah menjernihkan pandangan masyarakat dan kerajaan boleh memudah cara dari segi proses ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Roslan Hashim, berhubung cadangan kementerian untuk menghapuskan rekod bekas banduan bagi memudahkan mereka mencari pekerjaan.

Tambahnya, majoriti kes melibatkan kesalahan kecil dan golongan ini wajar dipertimbangkan untuk diberi peluang kedua sekiranya tidak mengulangi kesalahan.

Tegasnya, bukan sahaja dasar dan proses perundangan perlu diperkasa, malah masyarakat serta majikan juga perlu memainkan peranan penting dalam menjernihkan persepsi dan menerima bekas banduan untuk kembali menyumbang kepada masyarakat.

Inisiatif Jabatan Penjara yang menyediakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta peluang pekerjaan kepada banduan kesalahan kecil di luar tembok penjara turut menunjukkan kadar kejayaan yang tinggi, dengan hanya seorang daripada setiap 800 individu kembali mengulangi kesalahan.-Berita RTM