KUALA LUMPUR: Sektor agrikomoditi menyumbang sebanyak RM66.1 bilion atau 5.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga September, 2025, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Beliau berkata, dari tempoh Januari sehingga November 2025, sektor berkenaan menyumbang sebanyak RM180.2 bilion atau 12.4 peratus kepada jumlah eksport negara.
“Kerajaan sedar akan isu semasa seperti penyakit dan harga tidak stabil yang menjejaskan pendapatan sektor ini, terutamanya pekebun-pekebun kecil.
Mengambil kira perkara ini, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mengadakan pelbagai sesi libat urus dengan pihak berkepentingan dan sedang dalam proses Kajian Separuh Penggal (KSP) Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030), katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KPK di Dewan Rakyat hari ini.
Noraini juga memaklumkan, KPK mengemukakan satu permohonan untuk pertimbangan dan kelulusan Kementerian Kewangan (MOF) mengenai bantuan tambahan kepada pekebun kecil dalam sektor getah, namun setakat ini belum mendapat kelulusan.
Bagi sektor getah, katanya, Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaksanakan Program Kawalan Penyakit Luruhan Daun Pestalotiopsis (LDP) sejak 2023 hingga 2025 dengan peruntukan terkumpul sebanyak RM37.98 juta dan melibatkan kawalan untuk 38,492 hektar kawasan getah matang yang parah (ditoreh secara berlebihan).
“Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) juga melaksanakan program yang sama dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dengan kos sebanyak RM68.56 juta bagi keluasan 96,279 hektar kawasan getah milik pekebun kecil di bawah RISDA,” katanya.-BH Online
