KUALA LUMPUR, 9 Februari – Kerajaan kekal komited menumpukan pelaksanaan inisiatif sains, teknologi dan inovasi (STI) yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, khususnya komuniti luar bandar, melalui pendekatan berimpak tinggi dan berasaskan keperluan sebenar di lapangan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, pendekatan itu memastikan setiap pelaburan penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang mampu meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“MOSTI turut melaksanakan pendekatan inovasi sosial dan pemindahan teknologi secara langsung kepada komuniti dan perusahaan kecil melalui agensi nuklear Malaysia.
“Berbagai projek penyelidikan perasaskan komuniti telah dilaksanakan di bawah program inovasi sosial sebanyak 19 program projek dalam dengan jumlah pembiayaan sekitar RM5.74 juta telah berjaya dipindahkan kepada rakyat dan pengusaha mikro serta perusahaan kecil dan sederhana”, katanya demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Balik Pulau,Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik, di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Lih Kang, antara inisiatif utama yang sedang dilaksanakan ialah penggunaan Sistem Maklumat Geospatial Tanaman Padi (McGeo Padi) yang dibangunkan oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).
Sistem itu kini digunakan sepenuhnya di 12 jelapang padi utama melibatkan keluasan lebih 206,000 hektar di seluruh negara.
Menurutnya, penggunaan imej satelit beresolusi tinggi membolehkan pengesanan kawasan sebenar penanaman padi dilakukan secara lebih tepat, sekali gus mempercepatkan serta menjimatkan proses pengagihan subsidi padi kerajaan secara lebih bersasar kepada pesawah yang layak.
Dalam pada itu, menyentuh aspek pengurusan air dan adaptasi terhadap perubahan iklim, Chang berkata MOSTI melalui MYSA dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia telah mengenal pasti potensi sumber air bawah tanah menggunakan teknologi penderiaan jauh.
Usaha itu setakat ini memberi manfaat kepada kira-kira 10,000 penduduk di 11 kampung luar bandar yang berdepan masalah kekurangan bekalan air.-Berita RTM
