Oleh: Noraini Nordin (Ulasan Berita)
Lawatan Perdana Menteri India, Narendra Modi ke Malaysia menandakan satu lagi kejayaan hubungan diplomatik dengan negara luar di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Lawatan dua hari beliau adalah atas jemputan Anwar dan sebagai kunjungan balas kepada lawatan Perdana Menteri ke India pada Ogos 2024 lalu.
Selain kedatangan Modi menambahkan lagi akrab hubungan Malaysia dan India, ia turut memberi manfaat jangka panjang yang relevan untuk kemajuan negara.
11 PERTUKARAN MoU
Sempena lawatan Modi, sebanyak 11 pertukaran memorandum persefahaman (MoU) serta dokumen dalam bidang pelaburan, pendidikan, teknologi, pelancongan dan sebagainya antara kedua-dua negara telah ditandatangani.
Majlis tersebut telah berlangsung di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya dengan disaksikan oleh Anwar dan Modi.
Anwar berkata, India merupakan rakan utama Malaysia dengan kerjasama yang semakin berkembang serta membuahkan hasil.
Katanya, hubungan ekonomi Malaysia-India menunjukkan momentum yang kukuh, menyaksikan jumlah perdagangan dua hala mencecah RM79.49 bilion (USD18.59 bilion) pada 2025.
“Eksport Malaysia pula berjumlah RM52.3 bilion (USD12.24 bilion) dan import sebanyak RM27.19 bilion (USD6.35 bilion) dengan barangan eksport utama terdiri daripada minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit, serta produk elektrik dan elektronik, manakala import terutamanya terdiri daripada produk pertanian, petroleum dan kimia,” ujar beliau.
HUBUNGAN DUA NEGARA SEMAKIN KUKUH
Sebelum itu, ketibaan Modi yang dianggap sahabat baiknya disambut sendiri oleh Anwar di Kompleks Bunga Raya, KLIA.
Anwar berkata, beliau “sangat teruja” menerima kedatangan dan menghargai lawatan rakan sejawatnya dari India itu yang menunjukkan hubungan antara kedua-dua negara kini semakin kukuh.
Sebagai menyambut ketibaan Modi, beliau dipertontonkan dengan persembahan kebudayaan yang menampilkan keindahan warisan seni dan kepelbagaian budaya Malaysia.
Usai di KLIA, kedua pimpin itu terus ke Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC) bagi sesi ramah mesra bersama komuniti India, satu detik bermakna yang mencerminkan hubungan erat Malaysia – India yang berteraskan sejarah, kepercayaan dan aspirasi bersama.
Hubungan Malaysia-India bukan sahaja semakin akrab tetapi juga bermanfaat untuk kesejahteraan rakyat dua negara.
