PUTRAJAYA: Sebarang pandangan berkaitan isu penggunaan lafaz seperti ‘syukur’ dan ‘Alhamdulillah’ yang diucapkan golongan bukan Islam perlu dirujuk sepenuhnya kepada pihak berautoriti agama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, pandangan Jabatan Mufti yang berasaskan al-Quran, Sunnah serta pandangan ulama muktabar menjadi rujukan utama kerajaan dalam menangani isu berkenaan.
“Kita merujuk kepada pihak ada autoriti yang arif dan berkelayakan. Jadi kita menerima nasihat daripada Jabatan Mufti,” katanya kepada pemberita selepas menyertai MAIWP Run 2026 di Dataran Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu penggunaan kalimah Alhamdulillah dan syukur yang dibangkitkan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pada sidang Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Zulkifli berkata, dalam suasana semasa terlalu ramai pihak tampil memberikan pandangan sehingga menimbulkan kekeliruan, sedangkan perkara berkaitan agama Islam perlu ditangani secara berhikmah dan berpandukan autoriti yang sah.
“Sekarang ini terlalu ramai yang bercakap dan memberi pandangan. Tetapi kita ada autoriti. Maka kita serahkan sepenuhnya kepada pihak autoriti,” katanya.
Terdahulu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Ahmad Fauwaz Fadzil dilaporkan berkata, penggunaan lafaz sinonim umat Islam seperti Alhamdulillah oleh individu bukan Islam tanpa unsur penghinaan atau mempermainkan agama adalah diharuskan oleh ulama dan tidak menimbulkan isu sensitiviti atau akidah.-BH Online
