SERDANG, 7 Februari – Hubungan erat Malaysia dan India yang terjalin sejak ribuan tahun lalu terus diperkukuh, selari dengan komitmen kedua-dua negara dalam memperluaskan kerjasama strategik merangkumi ekonomi, teknologi, pendidikan serta kebudayaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hubungan antara Malaysia dan India dibina bukan sekadar melalui dasar dan perjanjian rasmi, malah berakar daripada sejarah panjang hubungan rakyat yang merentas generasi dan benua.
“Ini bukan sekadar satu kenyataan deklaratif, sebaliknya ia membuahkan hasil nyata. Perdagangan dua hala mencecah hampir AS$19 bilion pada tahun 2025. India merupakan antara rakan dagang utama Malaysia, manakala Malaysia pula adalah antara rakan utama India di peringkat ASEAN. Bukan sahaja barangan yang bergerak antara kita, termasuk minyak sawit, elektronik, barangan pembuatan, produk petroleum, barangan kejuruteraan dan farmaseutikal,”
Beliau berucap demikian pada Program Bersama Komuniti India yang berlangsung di The Mines Exhibition Convention Centre (MIECC), di sini, bersempena lawatan Perdana Menteri India, Narendra Modi ke Malaysia bermula hari ini.
Tambahnya, komuniti India memainkan peranan penting dalam pembangunan negara sejak sebelum kemerdekaan, termasuk dalam sektor perladangan, pembinaan infrastruktur, perkhidmatan awam, pendidikan dan kesihatan, selain menyumbang kepada kekayaan budaya Malaysia.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa kejayaan membina sebuah negara majmuk yang harmoni adalah hasil kehidupan bersama rakyat pelbagai kaum, budaya dan agama.
“Perhimpunan ini mengiktiraf sesuatu yang mendalam dan berkekalan antara dua negara. Jauh sebelum wujudnya kedutaan dan perjanjian perdagangan. Jauh sebelum terbentuknya negara bangsa, para pedagang, cendekiawan dan pelaut telah merentas Lautan Hindi antara benua kecil India dan Kepulauan Melayu.” jelasnya.
Selain perdagangan, hubungan rakyat ke rakyat turut diperkukuh dengan kehadiran lebih 1.5 juta pelancong dari India ke Malaysia pada tahun lalu, sekali gus melepasi tahap sebelum pandemik COVID-19 dan menyokong sasaran Tahun Melawat Malaysia 2026.
Perdana Menteri juga berkata kedua-dua negara kini memberi tumpuan kepada kerjasama masa hadapan dalam bidang strategik termasuk semikonduktor, pembuatan termaju, kewangan digital, kecerdasan buatan dan keselamatan siber, selari dengan perubahan rantaian bekalan global.
Tegasnya, Malaysia dan India akan terus memainkan peranan sebagai suara yang mengutamakan dialog, kerjasama dan kepentingan rakyat dalam mendepani ketidaktentuan global.-Berita RTM
