SEREMBAN: Semua pihak perlu menangani isu berkaitan rumah ibadat yang dibina secara haram secara ‘bil-hikmah wabilhasanah’ atau bijaksana dan tatasusila.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan sememangnya memberi perhatian terhadap isu terbabit dan sudah pun menetapkan garis panduan yang perlu dipatuhi semua pihak.
“Kita mesti menangani perkara ini secara ‘bil-hikmah wabilhasanah’, ertinya mesti harus ada kebijaksanaan dan tatasusila.
“Biarpun kita tahu mereka tidak mematuhi syarat-syarat itu, tetapi ada kaedah-kaedah perundangan dan kebijaksanaan yang kita lakukan,” katanya selepas menyampaikan bantuan Ramadan sempena program ‘Road To Ramadan’ di Masjid Kariah Pantai, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengulas penganjuran Himpunan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) yang dijadual berlangsung di ibu negara malam ini.
Himpunan itu dikatakan bagi mendesak penguatkuasaan terhadap rumah ibadat yang dibina secara haram.
Tegas Ahmad Zahid, sebarang penggunaan tanah milik syarikat, individu atau kerajaan negeri perlu mendapat kebenaran sewajarnya bagi mengelakkan sebarang pelanggaran undang-undang.
Menurut beliau, beberapa garis panduan dikoordinasikan bersama menteri besar dan ketua menteri di setiap negeri bagi memastikan semua pihak mematuhinya.
“Saya berharap jangan ada satu tindakan agresif yang akan menyebabkan masalah lain timbul.
“Kerajaan sangat prihatin terhadap isu itu dan ada kaedah yang harus diikuti oleh semua pihak,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapannya memberitahu Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta beliau memberi perhatian berhubung agenda Islam dan Melayu.
Bagaimanapun katanya, agama dan bangsa lain tidak akan diketepikan.
“Keharmonian, kepelbagaian agama dan bangsa harus dihormati kerana telah ditentukan negara kita ini terdiri daripada pelbagai kaum,” katanya.-BH Online
