KUALA LUMPUR, 6 Februari – Penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Hal Ehwal Bukan Islam di semua negeri adalah usaha berterusan kerajaan negeri mengukuhkan tadbir urus, penyelarasan dasar serta pengurusan isu sensitif berkaitan tanah rumah ibadat dan pentadbiran agama selain Islam.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata, semua perkara berkaitan hal ehwal agama dan urusan tanah adalah tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri seperti yang diperuntukkan dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan iaitu Senarai Negeri.
“Kerajaan negeri mempunyai kuasa dalam aspek berkaitan pentadbiran agama, urusan tanah, hak milik, pendaftaran serta pengambilan tanah.
“Setakat ini, kesemua kerajaan negeri telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelaras perkara tersebut,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Dalam hantaran sama, Datuk Seri Aaron turut memuat naik beberapa poster berkaitan jawatankuasa khas tersebut di setiap negeri bagi memberi penjelasan kepada orang ramai.
Ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pada Khamis, beliau berkata, sebarang perkara melibatkan penggunaan tanah dan pengurusan rumah ibadat perlu ditangani mengikut peruntukan undang-undang negeri serta melalui pendekatan rundingan dan integrasi sosial.
Kementerian Perpaduan Negara telah menubuhkan beberapa jawatankuasa seperti Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN), Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (HARMONI) dan Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan (JPIC).
Semua kerajaan negeri ketika ini juga telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelaras hal ehwal agama selain Islam, antaranya Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di Sarawak, Jawatankuasa Menyelaras Rumah Ibadat Bukan Islam di Pulau Pinang, Jawatankuasa Khas Agama (Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh) di Selangor serta Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam di Wilayah Persekutuan dan negeri-negeri lain.
“Pada masa sama, kerajaan sentiasa menjamin hak kebebasan beragama, namun turut bertanggungjawab menegakkan kedaulatan undang-undang termasuk dalam aspek pengurusan tanah dan perancangan pembangunan yang berada di bawah bidang kuasa pihak berkaitan,” katanya.
Jelas Datuk Seri Aaron lagi, biarpun isu tanah terletak di bawah kuasa kerajaan negeri, Kementerian Perpaduan Negara turut bertindak sebagai pemudah cara bagi memastikan isu agama ditangani secara adil, berhemah dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta prinsip Rukun Negara.-Berita RTM
