KUALA LUMPUR: Kerajaan dalam proses memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber yang dijangka dibentangkan di Parlimen, bulan depan bagi menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata wujud keperluan menggubal akta terbabit susulan jenayah penipuan dalam talian kini semakin membarah sehingga menyebabkan kerugian mencecah lebih RM2.9 bilion tahun lalu.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata jenayah itu turut merekodkan peningkatan melebihi 86 peratus jika dibandingkan dengan jumlah kerugian yang direkodkan pada 2024 iaitu RM1.574 bilion.
“Penggubalan RUU Jenayah Siber ini bagi mengatasi kelompangan undang-undang sedia ada dalam menangani ancaman jenayah siber, sekali gus memperkasa keupayaan penguatkuasaan dan melindungi keselamatan siber negara serta hak pengguna di ruang digital.
“RUU Jenayah Siber mengambil pendekatan yang lebih holistik dan terkini dengan memasukkan peruntukan yang akan merangkumi kedua-dua jenis jenayah siber iaitu jenayah berbantu siber dan jenayah bersandarkan siber.
“Penggubalan RUU Jenayah Siber ini menekankan prinsip ‘technology-neutral’ sebagaimana diterapkan dalam Konvensyen Budapest dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, penyalahgunaan teknologi baharu muncul antaranya kecerdasan buatan (AI) dalam modus operandi penjenayah siber seperti ‘deepfake’ mendatangkan mudarat berbahaya kepada semua mangsa yang terkesan.
Beliau berkata, dalam konteks konflik hibrid, teknologi ‘deepfake’ berpotensi menjadi pemangkin utama kepada peperangan maklumat khususnya melalui penyebaran maklumat yang tidak tepat, salah dan palsu (MDM) sebagai instrumen operasi psikologi.-BH Online
