Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA, 3 Feb – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan keperluan mendesak untuk meminda hukuman atas kesalahan mencuri di bawah kanun keseksaan yang dilihat tidak setimpal dengan jumlah kerugian dialami, khususnya melibatkan kes kecurian kabel.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya telah bertemu Menteri Pengangkutan, Anthony Loke serta operator rel baru-baru ini bagi berbincang berhubung kesan berskala besar akibat kecurian kabel rel termasuk membabitkan projek yang masih belum beroperasi iaitu Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Pentingnya kita melihat peruntukan undang-undang, akta dan seksyen tertentu.

“Apakah ia dianggap relevan dengan keadaan sekarang dan kita setuju bahawa ada keperluan untuk kita teliti dan memindanya,” katanya selepas Majlis Libat Urus dan Amanat Menteri Dalam Negeri bersama warga Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di sini, hari ini.

Datuk Seri Saifuddin mengulas kenyataan Loke bahawa tindakan lebih tegas bawah undang-undang perlu diambil bagi kesalahan mencuri kabel kerana ia bukan kesalahan biasa, sebaliknya melibatkan keselamatan awam.

Beliau turut menegaskan pihaknya tidak teragak-agak untuk membatalkan lesen kilang pelupusan besi keluli dan logam sekiranya mereka didapati membeli bahan yang dicuri.-Berita RTM