BANGI: Pembangunan Dasar Halal Negara (DHN) kini di fasa akhir dan dijangka siap sepenuhnya Mei ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata dasar itu akan menjadi panduan strategik bagi membina ekosistem halal yang inklusif, terancang dan mampan tanpa menjejaskan kuasa pensijilan sedia ada di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).
Fadillah memaklumkan usaha juga sedang dilaksanakan bagi memperluas skop akreditasi ISO/IEC 17065 bagi pensijilan halal Malaysia selepas kejayaan JAKIM memperoleh akreditasi itu sejak 2019, yang meletakkan ia sebagai badan pensijilan bertaraf antarabangsa dalam pengesahan produk, proses dan perkhidmatan.
“Usaha ini membolehkan urusan persijilan halal Malaysia memenuhi piawaian global dan diterima di peringkat antarabangsa.
“Kerajaan melalui JAKIM juga sedang menyusun gerak kerja ke arah pelaksanaan standard halal OIC/SMIIC 2 (Penilaian Pematuhan dan Keperluan bagi Badan Pensijilan Halal) yang dapat mengurangkan halangan perdagangan dan memudahkan perdagangan rentas sempadan, sekali gus meningkatkan eksport halal negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Ekonomi Halal Antarabangsa (IHEC) 2026 dan melancarkan Pembangunan Ekonomi Islam Dunia (WIED) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi IHEC 2026, Tan Sri Dr Mohd Yusof Md Noor.
Bagi memperkukuh peranan dan kredibiliti pensijilan halal negara di peringkat antarabangsa, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata Malaysia turut mengiktiraf 92 badan pensijilan halal luar negara dari 48 negara, yang menggariskan kepatuhan penuh terhadap aspek syariah, keselamatan, kebersihan dan prosedur audit.
“Kerajaan kekal komited untuk memperkukuh ekosistem halal negara melalui pelaksanaan Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030, yang menyasarkan nilai industri halal Malaysia meningkat kepada RM231.1 bilion menjelang tahun 2030, dengan nilai eksport halal negara disasar mencecah RM70 bilion dan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 10.8 peratus.
Dalam memastikan integriti logo halal terpelihara, Fadillah, berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjalankan pemantauan dan kawal selia yang tegas terhadap penggunaan logo halal yang sah, termasuk mengambil tindakan terhadap penyalahgunaan logo halal atau penandaan halal tanpa pensijilan yang sah.
Dari 2023 hingga 2025, sebanyak 182 kes direkodkan, dengan nilai rampasan lebih RM4.46 juta, selain siasatan terhadap 552 aduan berkaitan isu halal dalam tempoh sama.
“Penguatkuasaan yang tegas di pihak KPDN ini bertujuan memastikan produk halal di pasaran mematuhi undang-undang halal yang ditetapkan, sekali gus menjamin integriti logo halal Malaysia,” katanya.
Pada masa sama, Fadillah berharap WIED dapat berperanan sebagai platform penyelarasan global, pemangkin kerjasama strategik antara kerajaan, industri dan institusi kewangan serta memacu pembangunan ekonomi halal yang berstruktur, beretika dan mampan.
“Penubuhan WIED adalah inisiatif strategik yang dirangka bagi mengisi jurang dalam landskap ekonomi Islam dan halal global yang masih bersifat berpecah-pecah serta memerlukan penyelarasan yang lebih berwibawa dan berfokus kepada pembangunan ekonomi sebenar,” katanya.-BH Online
