KUALA LUMPUR, 2 Februari – Program Penanaman Bawang Berskala Besar berjaya menghasilkan lebih 54 tan metrik bawang domestik sepanjang tahun lepas.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohammad Sabu berkata program itu melibatkan kawasan seluas 157 hektar yang diusahakan oleh 125 pengusaha tempatan.
Beliau berkata kejayaan berkenaan adalah hasil perancangan tersusun, usaha gigih di lapangan serta komitmen padu semua pihak yang terbabit.
“Insya-Allah, pencapaian pada 2025 ini akan menjadi pemangkin untuk kita melangkah lebih jauh demi masa depan rakyat dan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Antara impak utama pelaksanaan program itu ialah peningkatan keupayaan pengeluaran domestik, pengurangan kebergantungan terhadap import serta pemerkasaan rantaian bekalan negara.-Berita RTM
