Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SUNGAI PETANI, 1 Februari – Penyokong bola sepak tanah air diminta terus memberikan sokongan terhadap pasukan negara walaupun krisis berterusan yang melanda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ketika ini.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari, berharap isu dihadapi badan induk bola sepak negara itu dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung isu tersebut kerana mahu memberi ruang dan peluang kepada FAM untuk menguruskannya.

“Diperingkat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kita sentiasa faham dan juga memberikan ruang kepada FAM untuk buat yang terbaik.

“Saya juga masih menunggu keputusan berkaitan isu yang dihadapi FAM dan kita lihatlah nanti bagaimana keputusannya.

“Saya harap semangat rakyat Malaysia terhadap sukan bola sepak negara tidak luntur dan mampu untuk mengembalikan kepercayaan dan persepsi rakyat terhadap bola sepak Malaysia,” katanya selepas meninjau sambutan Thaipusam, di sini hari ini.

Sebelum ini, semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM bagi penggal 2025-2029 mengumumkan perletakan jawatan secara kolektif susulan isu tadbir urus yang dihadapi.

FAM berdepan krisis bermula September lalu selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan badan induk itu dan tujuh pemain warisan negara didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).-Berita RTM