GOMBAK: Seorang lagi anggota geng ‘Kapten Praba’ dibawa pulang ke negara ini, kali ini dari Thailand ketika usaha mengesan saki baki ahli kumpulan jenayah giat diteruskan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ia tambahan kepada tiga ahli kumpulan itu yang sebelum ini dibawa pulang dari Mumbai, India hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia dengan pihak berkuasa negara terbabit menerus Op Jack Sparrow.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, ketika mengulas lanjut berkata berkata suspek dibawa pulang dari Thailand kira-kira jam 10.30 malam tadi dan dibawa ke mahkamah hari ini bagi proses permohonan reman.
“Kerjasama yang diberikan pihak polis Thailand banyak membantu kelancaran usaha membawa pulang suspek ke negara ini,” katanya ketika ditemui pada Program Kepolisan Komuniti Lawatan Ketua Polis Negara ke Program ‘Thaneer Panthal’ PDRM di Kuil Sri Subramania Swamy, Batu Caves, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar dan Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar.
Difahamkan, suspek berkenaan cuba memasuki Thailand dari India sebelum kemasukannya ke negara itu ditolak pihak berkuasa dan dia ditahan untuk tindakan lanjut.
Perkara itu kemudian dimaklumkan kepada Polis Antarabangsa (Interpol) serta PDRM bagi tujuan penyelarasan tindakan.
Suspek dipercayai bersembunyi di India sebelum cuba melarikan diri ke Thailand bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, namun usahanya gagal susulan maklumat risikan dikongsi antara agensi penguat kuasa terlibat.
Mengulas perkembangan siasatan, Mohd Khalid berkata setakat ini 17 anggota kumpulan itu sudah ditahan sebelum ini, manakala 15 lagi masih bebas dan dalam usaha pengesanan, dengan lokasi mereka sedang dikenal pasti.
“Siasatan masih diteruskan dan usaha mengesan semua ahli kumpulan ini yang masih bebas akan dilakukan secara menyeluruh,” katanya.
Tambahnya, kerjasama erat antara PDRM dengan pihak polis India dan Thailand banyak membantu kelancaran siasatan, serta usaha membawa pulang suspek Ops Jack Sparrow ke negara ini, khususnya dalam aspek perkongsian maklumat risikan dan koordinasi tindakan rentas sempadan yang dijalankan secara berterusan.
BH sebelum ini memaklumkan tiga penjenayah dikehendaki yang juga suspek utama Ops Jack Sparrow tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari Mumbai sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang untuk proses dokumentasi.
Terbabit jenayah berprofil tinggi
Ketiga-tiga lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu kemudian dibawa ke Mahkamah Sepang bagi proses reman selepas ditahan pasukan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji Maharaj, Mumbai, pada Ahad lalu.
Mereka sebelum itu diusir dari United Kingdom selepas pegawai imigresen di Lapangan Terbang Manchester menolak kemasukan susulan status sebagai penjenayah berprofil tinggi, sebelum dihantar semula ke lokasi penerbangan terakhir iaitu Mumbai.
Dalam operasi besar-besaran dijalankan September tahun lalu, polis menahan 17 ahli kumpulan kongsi gelap ini di beberapa negeri termasuk Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak.
Kumpulan itu dipercayai aktif sejak 2023 dengan dianggotai 33 individu, diketuai seorang lelaki yang digelar ‘Kapten Praba’, dan disyaki terbabit pelbagai jenayah kekerasan termasuk pembunuhan, serangan menggunakan senjata berbahaya, samun berkumpulan serta khianat dengan api.-BH Online
