KULIM: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan akan mempergiat usaha penguatkuasaan bagi mendapatkan semula lebih banyak dana kerajaan yang hilang akibat ketirisan dan penyelewengan selaras dengan peringatan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kejayaan memperoleh semula RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun lalu membuktikan penguatkuasaan yang konsisten dan berintegriti mampu menghasilkan pulangan besar kepada negara.
Katanya, kerajaan mahu memastikan setiap agensi penguatkuasa menilai sendiri keupayaan mereka untuk memikul tanggungjawab atau memberi laluan kepada pihak lebih berwibawa.
“Perdana Menteri menekankan RM15.5 bilion yang berjaya diselamatkan itu hanyalah sebahagian daripada jumlah ketirisan sebenar. Jika penguatkuasaan dipertingkatkan, jumlah dana yang boleh diperoleh semula jauh lebih besar,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan (BWI) Fasa 2 daerah Kulim, di sini, hari ini.
Isnin lalu media melaporkan Perdana Menteri yakin semua agensi kerajaan dalam negara mampu memungut dana yang hilang dan tiris melebihi angka RM15.5 bilion yang berjaya diselamatkan setakat ini.
Katanya, walaupun ramai kakitangan kerajaan yang berkhidmat dengan cemerlang, masih ada bibit-bibit kerosakan dan kepincangan dalam agensi kerajaan terutama yang melaksanakan penguatkuasaan undang-undang, sehingga berlaku ketirisan.
Saifuddin berkata, mesej tegas Perdana Menteri itu ditujukan kepada semua agensi kawal selia termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia,(PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan agensi lain yang terbabit dalam membanteras penyelewengan kewangan awam.
Katanya, pimpinan tertinggi setiap agensi diberi tempoh seminggu untuk mengesahkan kesediaan mereka memikul tanggungjawab atau memilih untuk beralih ke jawatan lain.
“Jika seseorang merasakan dirinya tidak lagi berupaya memenuhi aspirasi kerajaan, maka keputusan yang berani perlu dibuat. Itu adalah mesej Perdana Menteri yang kami sambut dengan sifat terbuka di KDN,” katanya.
Saifuddin berkata kementeriannya akan memastikan semangat dan peringatan itu diterjemahkan secara nyata melalui tindakan penguatkuasaan di lapangan.-BH Online
