KUALA LUMPUR: Inisiatif pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG9 baharu secara Contract of Service (CoS) seperti diumumkan Kementerian Pendidikan semalam mendapat sambutan sangat baik.
Justeru, hari ini Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerusi akaun media sosial miliknya berkongsi sejumlah soalan lazim yang diharapkan dapat membantu menjawab persoalan-persoalan yang dijangka dibangkitkan oleh calon pemohon.
Berikut adalah soalan lazim berkaitan pengambilan berkenaan:
1. Apakah yang dimaksudkan dengan guru baharu lantikan CoS?
* Graduan selain ijazah Pendidikan yang dilantik secara kontrak dan akan mengikuti program pengajian perguruan di Institut Pendidikan Guru (IPG).
2. Apakah nama program pengajian yang perlu diikuti?
* Diploma Pascasiswazah Pendidikan Sekolah Rendah.
3. Apakah pautan untuk permohonan Diploma Pascasiswazah Pendidikan Sekolah Rendah?
* Pautan boleh diakses bermula 2 Mac 2026
4. Bilakah tarikh permohonan dalam talian dibuka?
* 2 hingga 20 Mac 2026
5. Apakah syarat ambilan?
i. Syarat Umum
* Warganegara Malaysia
* Sihat tubuh badan
* Aktif kokurikulum pada peringkat universiti
* Umur tidak melebihi 40 tahun pada tarikh tutup permohonan dan memiliki BMI semasa tidak melebihi 32.5.
ii. Syarat Akademik
* Memiliki ijazah sarjana muda dari mana-mana universiti awam atau swasta atau luar negara yang diiktiraf oleh agensi kelayakan Malaysia (MQA).
* Pencapaian PNGK sekurang-kurangnya 2.50.
* Memiliki kepujian (sekurang-kurangnya Gred C) dalam subjek Bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia atau Sijil Vokasional Malaysia atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan.
6. Bagaimana proses ambilan dilaksanakan?
* Portal permohonan boleh dilayari melalui pautan berikut : https://mypdpp.moe.gov.my pada tarikh yang ditetapkan
* Calon akan diberi tarikh menduduki Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG) selepas lengkap mengisi permohonan secara dalam talian.
* UKCG akan dilaksanakan secara dalam talian.
* Semakan panggilan temuduga akan dimaklumkan pada 22 April 2026.
* Calon yang berjaya akan dipanggil untuk menghadiri temu duga secara bersemuka.
* Saringan kesihatan perlu dimuat naik pada pautan yang ditetapkan sebelum 30 Mei 2026.
7. Dimanakah pengajian perguruan dilaksanakan?
* Pengajian akan dilaksanakan di IPG, Kementerian Pendidikan (KPM) yang ditetapkan di seluruh Malaysia.
8. Berapa lamakah tempoh pengajian?
* Tempoh pengajian adalah selama satu tahun.
9. Apakah mod pengajian?
* Interaksi bersemuka dijalankan pada hujung minggu dan cuti sekolah.
* Interaksi dalam talian dilaksanakan sepanjang minggu pengajian.
10. Berapakah gaji permulaan guru gred DG9 CoS?
* Gaji RM2,360.00 sebulan.
11. Siapakah yang tidak layak memohon?
* Calon dalam kategori berikut tidak layak memohon:
* Graduan Pendidikan termasuk individu yang sedang mengikuti Program Diploma pascasiswazah Pendidikan (DPLI) atau Diploma Pascasiswazah Pendidikan (DPP)
* Guru Lantikan Kontrak Interim (LKI)
* Guru Kontrak (Lantikan SPP)
* Calon yang pernah ditamatkan perkhidmatan atau dibuang kerja dari Perkhidmatan Awam; dan
* Seorang bankrap dan belum dilepaskan.
12. Adakah pengambilan ini untuk keperluan guru sekolah rendah?
* Ya. Pengambilan adalah bagi memenuhi keperluan guru sekolah rendah di seluruh negara
13. Apakah peranan KPM dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dalam pengurusan pengambilan guru ini?
* KPM – Mengurus dan melaksanakan proses temuduga serta latihan pengurusan melaui IPGM
* SPP – Mengurus pengambilan dan pelantikan guru baharu
14. Adakah calon guru simpanan dan graduan bidang pendidikan masih berpeluang untuk menjadi guru?
* Ya. Peluang sentiasa terbuka untuk calon simpanan dan graduan bidang pendidikan menjadi guru. KPM dan SPP sentiasa bekerjasama erat untuk melaksanakan pengambilan guru dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan Pendidikan negara.-BH Online
