KULIM: Status siasatan kes serangan babitkan anak Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli ditentukan berdasarkan perkembangan siasatan polis, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata sama ada kes berkenaan akan diklasifikasikan sebagai `tiada tindakan lanjut (NFA) atau sebaliknya, bergantung kepada pada hasil dan petunjuk yang ditemui sepanjang dalam siasatan.
Katanya, beliau tidak bercadang mengeluarkan sebarang arahan bersifat konklusif kerana tindakan sedemikian boleh dianggap mengganggu siasatan, khususnya sekiranya pihak polis menemui petunjuk atau maklumat baharu.
“Yang paling penting begini, apabila berlaku sesuatu insiden dan laporan polis dibuat, tugas hakiki polis ialah menjalankan penyiasatan. Penyiasatan ini akan dijalankan sepanjang masa dan progresnya bergantung kepada petunjuk-petunjuk baharu yang ditemui.
“Sama ada pengkelasannya dimasukkan sebagai ‘no further action (NFA)’ atau sebaliknya, saya serahkan kepada profesionalisme pasukan polis,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan (BWI) Fasa 2 daerah Kulim, di sini, hari ini.
Saifuddin turut menzahirkan rasa simpati terhadap insiden membabitkan anak Ahli Parlimen Pandan itu dan berkata beliau pernah menghubungi Rafizi untuk bertanyakan khabar, termasuk selepas kejadian berkenaan.
Semalam, media melaporkan Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi bersedia mengusulkan kepada kerajaan dan pihak berkuasa supaya siasatan kes serangan terhadap anaknya yang memasuki bulan keenam dihentikan.
Beliau akan menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Dalam Negeri serta polis sekiranya tiada perkembangan dalam masa terdekat.
Rafizi turut memaklumkan beliau menerima dengan hati terbuka sekiranya kes berkenaan ‘senyap’ begitu sahaja kerana menyedari beliau tidak lagi mempunyai sebarang kuasa.
Pada 13 Ogos lalu, Rafizi pada sidang media mendedahkan isterinya menerima mesej berbaur ugutan iaitu ‘diam, jika teruskan, AIDS,’ selepas anak lelaki mereka yang berusia 12 tahun diserang.
Pada hari sama, polis mengesahkan kejadian serangan terhadap kanak-kanak itu di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada jam 2 petang, namun mangsa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.-BH Online
