KUALA LUMPUR: Pelan insurans atau takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) asas dengan kadar premium serendah RM80 sebulan bukan pengganti penjagaan kesihatan awam, sebaliknya pelengkap kepada akses penjagaan kesihatan sejagat untuk semua lapisan masyarakat.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata ia sekali gus membolehkan perlindungan kewangan yang lebih meluas kepada rakyat apabila dikuatkuasakan pada awal 2027.
“Produk MHIT asas ini akan disasarkan kepada dua kumpulan iaitu rakyat yang belum mempunyai insurans atau takaful perubatan tetapi mampu membiayai perlindungan penjagaan kesihatan swasta, serta pemegang polisi MHIT yang kini sedang mencari alternatif lebih baik dan mampu milik.
“Justeru dengan pelan baharu ini, mereka mempunyai pilihan alternatif yang lebih berpatutan tanpa menjejaskan perlindungan asas,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai matlamat utama pengenalan pelan MHIT berpremium serendah RM80 sebulan termasuk kriteria kumpulan sasaran dan sejauh mana pelan terbabit mengurangkan beban kos perubatan isi rumah berbanding insurans sedia ada.
Amir Hamzah berkata, pelan MHIT asas yang sukarela itu mempunyai ciri-ciri yang membolehkan kenaikan premium lebih stabil dan lebih boleh dijangka sepanjang tempoh polisi berbanding produk sedia ada di pasaran.
“Pakej manfaat dan kadar premium akan diseragamkan merentasi kesemua syarikat insurans dan takaful yang menawarkan pelan MHIT Asas.
“Ini membolehkan pengumpulan risiko yang lebih meluas merentasi ITO (Insurans dan Takaful Operator) yang menawarkan pelan asas ini,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata menerusi pelan baharu itu ia memberikan pilihan amalan kawalan kos yang lebih berdisiplin termasuk penggunaan bayaran pukal yang berbeza mengikut rangkaian hospital, peralihan secara berfasa daripada sistem bayaran setiap perkhidmatan (fee-for-service) ke sistem bayaran berasaskan Diagnostic-Related Group (DRG).
“Ia juga membolehkan kawalan kos kesihatan yang lebih berkesan melalui rundingan perolehan perkhidmatan penjagaan kesihatan.
“Seterusnya, produk asas ini juga lebih ringkas dan kendiri yang mana pelan asas ini bukan berasaskan produk berkaitan pelaburan.
“Oleh itu ia lebih mudah difahami dan mampu milik kepada pengguna kerana pengguna membeli produk insurans perubatan sahaja tanpa sebarang elemen pelaburan yang boleh mempengaruhi kos insurans dan kemampanan perlindungan sepanjang tempoh polisi,” katanya.
Beliau berkata, dengan premium lebih terkawal termasuk ketika usia meningkat, pelan MHIT asas itu dijangka mengurangkan tekanan kos kesihatan kepada isi rumah dan menawarkan pilihan yang lebih mampu milik berbanding pelan insurans sedia ada.
“Selain mengawal kos untuk rakyat, MHIT asas juga menyokong perubahan penting dalam sistem penjagaan kesihatan ke arah penjagaan berasaskan nilai.
“Selain penggunaan model pembayaran berasaskan DRG secara berfasa, pengenalan pelan asas MHIT juga akan mendorong peningkatan ketelusan kos, pengamalan kesihatan digital dan penjajaran insentif antara hospital, syarikat insurans dan pengguna yang lebih menekankan penjagaan berasaskan nilai,” katanya.
Katanya, pelan itu bermula dengan projek perintis pada separuh kedua tahun ini dan pelaksanaan penuh pada awal 2027.-BH Online
