KUALA LUMPUR: MyKad baharu yang akan diperkenalkan mulai 1 Jun ini akan membolehkan setiap pembelian minyak masak paket bersubsidi oleh rakyat tempatan direkodkan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata MyKad baharu itu, yang dilengkapi kod QR akan menjadi opsyen bagi pembelian barangan itu, sekali gus mengelak pembelian oleh warga asing.
“Jika sekarang, aplikasi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) menggunakan kod QR, dengan hanya mengimbas kad pengenalan yang mempunyai kod QR itu juga nanti, membolehkan pembelian minyak masak paket dimanfaatkan masyarakat kita,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) sama ada kerajaan bercadang untuk mengintegrasikan eCOSS dengan aplikasi berkaitan lain.
Armizan berkata, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk mengintegrasi platform MyKasih, yang kini digunakan bagi program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan pembelian RON95 bagi pembelian minyak masak bersubsidi.
Menjawab soalan asal Abdul Latiff bin Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai keberkesanan eCOSS dalam pengagihan minyak masak paket bersubsidi kepada warga emas dan orang miskin di luar bandar tanpa kemudahan internet, Armizan menjelaskan, bagi peringkat rintis penggunaan aplikasi mobil eCOSS bermula Mei lalu, pembelian melalui kaedah manual masih dibenarkan dan perekodan transaksi dibuat secara manual.
“Pembelian secara manual atau kaedah bersesuaian akan dikenal pasti secara bersasar di premis peruncitan terpilih yang masih belum mempunyai capaian kemudahan internet.
“Bantuan dan sokongan di premis jualan akan diberikan oleh peruncit dengan modul khas bagi kumpulan warga emas atau golongan miskin yang tidak mempunyai telefon mudah alih dengan rangkaian internet,” katanya.
Katanya, e-COSS mendaftarkan semua pihak yang terbabit dalam rantaian pengedaran, termasuk syarikat kilang penapis, syarikat pembungkusan, pemborong dan peruncit, selain merekodkan transaksi jual beli minyak masak kemasan paket bdi semua peringkat itu.-BH Online
