PETALING JAYA: Umat Islam di negara ini digesa mempertingkatkan usaha ke arah membangun pemikiran maju, progresif dan dinamik dengan berpaksikan maqasid serta nilai rahmah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata kerajaan sedang berusaha membawa dan mencipta pemikiran umat Islam yang rahmah dan mengajak kepada kebaikan dan tidak melihat kepada perkara yang tidak baik.
“Malaysia sudah merangkul pelbagai pencapaian dari sudut pengurusan dan pentadbiran Islam, antaranya pengurusan Halal, Haji dan Wakaf.
“Namun begitu, ada satu perkara yang belum lagi pada saya mencapai tahap yang kita inginkan iaitu tahap pemikiran rakyat.
“Oleh itu, kerajaan sedang berusaha membawa dan mencipta pemikiran umat Islam yang rahmah, yang bukan marah-marah,” katanya ketika berucap merasmikan Laporan Kajian Indeks Malaysia Negara Rahmah 2025 (IMNR 2025), di sini, hari ini.
Terdahulu, Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) melancarkan IMNR 2025, yang memperlihatkan peningkatan skor 7.42 bagi 2025 berbanding 7.24 pada 2023.
Sementara itu, Zulkifli turut menggesa umat Islam supaya tidak terpengaruh dengan seruan yang mengajak umat Islam memboikot pembayaran zakat dan pelaksanaan wakaf di Selangor.
Tegasnya, umat Islam perlu mengambil pendekatan yang lebih rahmah iaitu mengajak kepada kebaikan dan tidak melihat kepada perkara yang tidak baik.
“Kita perlu perbanyakan usaha ke arah yang baik, oleh itu, apa-apa ajakan seperti itu perli hindarinya,” katanya ketika diminta mengulas berhubung isu memboikot bayaran zakat susulan isu pencerobohan tanah perkuburan Islam di PJS4, Shah Alam.
Sebelum ini, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, tindakan menghasut umat Islam memboikot bayaran zakat susulan isu pencerobohan tanah perkuburan Islam di PJS4 disifatkan sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan kesejahteraan golongan asnaf di negeri ini.
Katanya, tindakan itu dikesan tular di media sosial yang menggesa orang ramai tidak membayar zakat kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) serta menghentikan pelaksanaan wakaf di negeri ini.
Beliau berkata, hantaran yang dimuat naik oleh seorang pengguna media sosial Threads pada Isnin lalu, hanya akan mengelirukan masyarakat Islam.-BH Online
