Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

CEBU CITY (Filipina): Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan tiba di sini hari ini untuk Permukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) dan mesyuarat berkaitan.

Beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Mactan-Cebu dan disambut oleh Penolong Setiausaha Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA), Ariel Rodelas Peñaranda.

Mohamad mengetuai delegasi Malaysia ke Permukiman AMM, mesyuarat rasmi pertama ASEAN tahun ini di bawah Kepengerusian ASEAN oleh Filipina yang bertemakan ‘Mengemudi Masa Depan Kita, Bersama’.

Semua menteri luar ASEAN menghadiri permukiman berkenaan kecuali Myanmar yang diwakili Setiausaha Tetap Kementerian Luarnya. Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn turut menghadiri sesi berkenaan.

Mohamad juga dijadual menghadiri Rundingan Tidak Rasmi dan Rundingan Tidak Rasmi Lanjutan mengenai Pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) hari ini.

Malaysia mengesahkan semula komitmennya untuk menyokong Filipina pada 2026 dalam isu Myanmar melalui mekanisme Troika bersama Filipina dan Singapura.

Pada sebelah malam, beliau akan menghadiri majlis makan malam alu-aluan yang dihoskan oleh Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Ma Theresa P Lazaro.

Esok, Mohamad akan menghadiri sesi permukiman yang dipengerusikan oleh Lazaro, selain dijangka menyampaikan pandangan Malaysia mengenai perkembangan utama serantau dan antarabangsa.

Beliau turut mengambil kesempatan mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya dengan fokus perbincangan kepada usaha meningkatkan kerjasama dua hala dengan negara-negara terbabit.

Semasa permukiman itu, Pengerusi ASEAN dijangka membentangkan bidang keutamaan dan keberhasilan kepengerusiannya.

Sesi permukiman ini memberi ruang kepada Malaysia dan negara anggota ASEAN lain untuk memperkukuh usaha bersama ke arah pembinaan Komuniti ASEAN yang terangkum, mampan dan berdaya tahan, khususnya dalam mendepani perubahan dan ketidaktentuan landskap geopolitik dan geoekonomi semasa.

Menteri-menteri luar ASEAN akan menyemak semula pelaksanaan keputusan daripada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang diadakan di Kuala Lumpur pada Oktober 2025 serta bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Semalam, Jurucakap Filipina bagi Hal Ehwal ASEAN, Dominic Xavier M Imperial, berkata isu serantau dan antarabangsa dijangka dibincangkan dalam suasana terbuka sepanjang permukiman itu.

“Dengan format sedemikian, semua menteri luar dan wakil bebas membangkitkan apa sahaja kebimbangan berkaitan perkembangan serantau dan global,” katanya.-BH Online