Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan sedang mengambil tindakan drastik untuk memerangi segala kegelinciran integriti dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan tindakan diambil tidak akan membezakan sesiapa, daripada yang berpangkat paling tinggi hingga paling bawah.

“Mereka akan kehilangan kehormatan sebagai seorang pahlawan jika didapati bersalah.

“Mereka yang dihadapkan dengan pertuduhan jenayah, kita serahkan kepada sistem keadilan negara untuk memutuskan dengan adil.

“Bagi kes membabitkan kegiatan tidak bermoral, seperti budaya hedonisme dan salah laku pentadbiran, mahkamah ATM akan mengadili mereka. 

“Apa yang nyata, Kementerian Pertahanan tidak akan melindungi sesiapa,” katanya pada Sesi Penerangan Menteri Pertahanan mengenai isu terkini berkaitan rasuah dan salah guna kuasa dalam ATM di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan bebas, telus dan berkesan.

Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga diberikan ruang seluas-luasnya untuk mengambil tindakan dan beliau sendiri sudah bertemu dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki minggu lalu.

“Saya memberi jaminan, saya dan seluruh Kementerian Pertahanan berdiri bahu membahu dengan SPRM untuk membasmi segala bentuk rasuah dan salah guna kuasa di Kementerian Pertahanan dan ATM.

“Usaha mengembalikan wibawa dan kepercayaan bangsa dan negara terhadap ATM adalah keutamaan terpenting Kerajaan MADANI dan Kementerian Pertahanan. 

“Tindakan mengenal pasti dan mendakwa mereka yang terbabit jauh daripada mencukupi. Ia tidak sama sekali akan menjadikan kementerian ini suci dan bersih,” katanya.

Mohamed Khaled memaklumkan, beliau juga memperincikan langkah kementerian untuk memerangi kecurangan integriti secara radikal melalui Perutusan Tahun Baharu 2026 bagi kementeriannya, baru-baru ini, dengan melaksanakan pembaharuan tatacara dan tatakelola.

Antaranya, menyemak dan menyusun semula semua prosedur perolehan dalam sistem kementerian serta pelaksanaan digitalisasi bagi memastikan teknologi menjadi pemangkin ketelusan dan keutuhan semua proses dan projek yang membabitkan dana kerajaan.

Selain itu, penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara lebih menyeluruh bagi memudahkan analisis dan jangkaan dalam proses perolehan, termasuk perbandingan kos, spesifikasi dan kecekapan perolehan dengan negara lain, yang turut dapat mengenal pasti kompetensi pegawai berkhidmat.

3 objektif tutup ruang rasuah, salah guna kuasa

Pada masa sama, penubuhan Lembaga Pengukuhan Keutuhan dan Amanah, yang akan memandu kementerian dalam semua urusan berkaitan penambahbaikan integriti dan pelaksanaan amanah serta pelaksanaan kerangka Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) untuk memastikan jurang tadbir urus dapat dipertingkat, selaras agenda kelestarian.

“Semua langkah ini bertujuan menepati tiga objektif utama, iaitu menutup sebaik mungkin segala ruang perbuatan rasuah dan salah guna kuasa, meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan memudahkan pengesanan risiko serta memastikan kementerian mempunyai sistem operasi yang unggul, dipacu teknologi termaju dan diolah dalam kerangka kelestarian dan kemapanan. 

“Insya-Allah, ia tidak akan terhenti di situ saja. Kementerian akan terus meneroka lebih banyak ikhtiar dan peluang yang akan terus memantapkan kewibawaan kementerian ini dan ATM,” katanya.-BH Online