Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Peruntukan bagi pelaksanaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM15 bilion tahun ini menyaksikan peningkatan hampir sekali ganda berbanding RM8 bilion pada 2022.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong, berkata peningkatan peruntukan untuk STR dan SARA dari tahun ke tahun ini jelas membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial.

“Peningkatan bantuan kewangan ini khususnya SARA yang bermula pada 2023 adalah mekanisme digunakan oleh kerajaan menyediakan bantuan secara bersasar,” katanya menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) pada Waktu Pertanyaan bagi Jawap Lisan di Dewan Rakyat, hari ini. 

Mengenai jumlah rakan niaga SARA, Chin Tong berkata jumlah premis rakan niaga SARA sehingga Isnin meningkat kepada 10,447 kedai di seluruh negara berbanding 700 kedai pada 2024.

Bilangan ini, katanya akan terus bertambah dari semasa ke semasa termasuk pasar raya, kedai runcit, kedai koperasi dan pasar mini yang terletak di kawasan bandar, luar bandar dan juga pedalaman bagi memastikan lebih ramai penerima mendapat akses mudah kepada bantuan ini.

“Misalnya untuk Sarawak sahaja, terdapat 1,096 premis didaftarkan sebagai rakan niaga SARA. 

“Kerajaan akan sentiasa meneliti syarat untuk menjadi rakan niaga SARA dari semasa ke semasa bagi memastikan kedai runcit tempatan dan peniaga kecil turut terlibat secara langsung selaras ketetapan perutusan Tahun Baharu 2026 Perdana Menteri untuk menambahkan 10,000 kedai runcit kecil pada tahun ini,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Dr Halimah Ali (PN-Kapar), Chin Tong berkata hasrat kerajaan selari cadangan supaya bantuan SARA bukan sahaja memanfaatkan golongan B40, tetapi pada masa sama menyokong peniaga kecil khususnya di luar bandar.

Beliau berkata, kriteria dan syarat yang ditambah baik untuk premis perniagaan menjadi rakan niaga SARA dengan premis itu mengendalikan kedai runcit, menjual sekurang-kurangnya tujuh barangan makanan keperluan asas seperti beras, susu, tepung, minyak masak, barangan dalam tin daripada 14 kategori yang ditetapkan sebelum ini.

“Antara penambahbaikan dilaksanakan ialah keperluan menjual barangan keperluan asas diturunkan daripada 70 peratus kepada 50 peratus iaitu tujuh daripada 14 kategori ditetapkan.

“Kriteria lain ditambah baik ialah premis mempunyai pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), lesen perniagaan sah, mempunyai nombor pengenalan cukai (TIN) dan mengguna pakai sistem point of sales (POS),” katanya.

Katanya, kerajaan terbuka meneliti cadangan lanjut termasuk penyesuaian syarat mengikut lokaliti dan saiz premis khususnya bagi kedai runcit kecil di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Kita bersedia mendengar dan mempertimbangkan sebarang cadangan yang munasabah. Jika ada asas yang kukuh, kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk melonggarkan lagi syarat sedia ada,” katanya.-BH Online