Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) akan beroperasi 24 jam pada musim perayaan bermula pada Tahun Baharu Cina, bulan depan bagi memberi kemudahan kepada pergerakan orang ramai pulang ke kampung masing-masing.

Ia sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya pada musim perayaan ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata pelaksanaan ETS yang beroperasi 24 jam itu akan dilaksanakan khusus ketika musim perayaan.

Katanya, dengan menggunakan perkhidmatan ETS, penumpang tidak perlu tersekat dalam kesesakan di lebuh raya utama pada musim perayaan, dan menempuh tempoh perjalanan yang lama.

“Ini memudahkan rakyat tak payah bersusah-payah. Beli saja tiket naik tren ETS, selesa boleh minum kopi dia boleh dia boleh buat kerja, boleh baca buku dan sebagainya, sampai ke destinasi dengan selamat. 

“ETS 24 jam ini hanya untuk musim perayaan, bermula Tahun Baharu Cina. Kita mahu mengoptimumkan aset sedia ada dan menambah kapasiti ketika permintaan tinggi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu di kementeriannya hari ini.

Justeru, Loke berkata, pihaknya sudah mengarahkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk mengoptimumkan semua aset sepanjang musim perayaan. 

Katanya, pada kebiasaan, KTMB tidak menggunakan semua tren sebagai langkah berjaga-jaga dan persediaan jika berlaku kerosakan.

Dalam perkembangan berkaitan, Loke berkata, pengoperasian projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang merangkumi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor kekal mengikut jadual iaitu pada Januari 2027.

Beliau berkata, ia berikutan sistem rel memerlukan penelitian kerana membabitkan pelbagai sistem termasuk ujian integrasi.

“Kita kena faham bahawa sistem kereta api bukan sahaja tengok landasan, ia mesti ada integrasi sistem dahulu. 

“Ujian sistem juga sama, adakah ia boleh integrasi dengan baik atau tidak. Kita sudah banyak pengalaman Aerotrain, LRT3 dia ada masalah sistem, masalah perisian.

“Jadi, pemeriksaan atau ujian sistem belum dimulakan. Bagi pihak Kementerian Pengangkutan, masih kekal dengan jadual pada Januari tahun depan,” katanya ketika mengulas kenyataan dibuat Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bahawa ECRL mungkin beroperasi pada November tahun ini.-BH Online