MELAKA, 26 Januari – Beberapa pegawai tentera telah dipanggil polis untuk membantu siasatan berhubung isu penyebaran maklumat berkaitan urusan perjawatan strategik ATM di media sosial.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan itu diambil berikutan laporan polis yang dibuat oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF) berhubung insiden kebocoran maklumat berkenaan pada minggu lalu.
“Kita telah membuat laporan kepada pihak polis dan siasatan perlu dijalankan oleh mereka. Polis juga telah memanggil beberapa pegawai untuk ditemu bual bagi membantu siasatan.
“Setakat ini, saya percaya pihak polis masih meneruskan siasatan dan apabila selesai, tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Kem Terendak di Sungai Udang di sini hari ini.
Datuk Seri Mohamed Khaled bagaimanapun enggan mengulas mengenai bilangan pegawai tentera yang telah dipanggil polis bagi memberi keterangan setakat ini.
Terdahulu, Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dan bersedia mengambil tindakan perundangan terhadap mana-mana individu yang menyebarkan maklumat sulit berkaitan urusan perjawatan strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di platform media sosial.-Berita RTM
