KUALA LUMPUR: Kerajaan dalam peringkat akhir persediaan untuk menubuhkan Jabatan Pendakwaan Syariah Malaysia (JPSM) di peringkat Persekutuan bagi memperkukuh penyelarasan, kecekapan dan profesionalisme pendakwaan syariah di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata ketika ini ia dalam proses penyediaan memorandum Jemaah Menteri bagi mendapatkan kelulusan dasar sebelum dibawa ke Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan seterusnya ke Majlis Raja-Raja.
“Penubuhan JPSM bertujuan memastikan keseragaman gerak kerja pendakwaan syariah tanpa menjejaskan autonomi dan kuasa negeri-negeri sebagaimana diperuntuk di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Malah satu mesyuarat dalam masa terdekat bersama Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), JPM untuk membincangkan isu-isu teknikal cadangan penubuhan JPSM ini secara lebih terperinci.
“Cadangan penubuhan JPSM ini bagaimanapun tidak akan menghakis kuasa (perundangan) negeri, tetapi berfungsi sebagai entiti rujukan dan penyelaras di peringkat Persekutuan khususnya dalam aspek perundangan jenayah syariah, pentadbiran, latihan, kompetensi dan profesionalisme,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) yang meminta perdana menteri menyatakan status Pelan Kecekapan Pendakwaan Syariah Nasional (PKPSN) sebagai dasar rasmi negara dan kesediaan kerajaan mewujudkan Akta Jabatan Pendakwaan Syariah Persekutuan supaya fungsi pendakwaan Islam berada pada kedudukan yang kukuh bebas seperti Jabatan Peguam Negara.
Mengulas lanjut, Zulkifli menjelaskan, ketika ini semua negeri kecuali Sabah sudah mengasingkan sepenuhnya fungsi pendakwaan Syariah daripada Jabatan Agama Islam Negeri.
“Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan bersama jabatan pendakwaan Syariah negeri-negeri telah mengadakan persidangan meja bulat membabitkan pihak berkuasa agama negeri serta Setiausaha Kerajaan Negeri bagi membincangkan cadangan itu,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Ahmad Fakhruddin berkaitan isu tunggakan kes syariah, Zulkifli berkata, prestasi Mahkamah Syariah menunjukkan perkembangan positif dengan peningkatan kadar penyelesaian kes, khususnya di Wilayah Persekutuan.
“Bagi tempoh 2019 hingga 2025, sebanyak 9,387 kes direkodkan di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam manakala 858 kes di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 dengan banyak kes berjaya diselesaikan dengan lebih pantas.
“Bertepatan peranan utama penubuhan JPSM, ia bagi ditubuhkan bagi pemusatan data dan statistik pendakwaan syariah di peringkat nasional, penyelarasan tatacara pendakwaan serta penggubalan arahan amalan Ketua Pendakwa Syarie bagi mengurangkan isu backlog kes,” katanya.
Dalam pada itu, menjawab soalan Datuk Isam Mohd Isa (BN-Tampin) berkenaan sejauh mana libat urus dilakukan bersama kerajaan negeri dan pihak berkuasa negeri, Zulkifli memaklumkan secara prinsip majoriti negeri bersetuju dengan penubuhan JPSM.
“Sesi libat urus menyeluruh telah diadakan bersama kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Negeri, kebanyakan negeri memberi maklum balas bertulis hasil daripada perbincangan yang sudah diadakan.
“Secara prinsipnya, majoriti bersetuju dengan penubuhan JPSM, namun pelaksanaannya perlu diperincikan bagi memastikan manfaat bersama serta menjamin kebebasan, integriti dan kewibawaan institusi pendakwaan Syariah,” katanya.-BH Online
