PUTRAJAYA: Jabatan Audit Negara (JAN) perlu merancang dan melaksanakan ikhtiar baharu termasuk menubuhkan pasukan khas supaya sistem pengauditan lebih berkesan, pantas serta tidak membebankan rakyat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menegaskan, audit perlu diteruskan berorientasikan impak maksimum dan bukan sekadar menjadi rutin tanpa hasil yang memanfaatkan rakyat.
Walaupun sistem pengauditan telus dan baik, beliau berkata, prosesnya mesti disegerakan kerana kelewatan boleh membuka ruang kepada ketirisan.
“Harus disegerakan audit kerana kalau kita baik, telus dalam sistem pengauditan tetapi lambat, ia akan menyebabkan berlaku ketirisan, sebab itu audit harus lebih pantas dan tepat.
“Saya tentunya inginkan supaya ada beberapa ikhtiar baharu seperti kita lakukan pendigitalan perkhidmatan dan ada yang turun padang supaya audit tidak dianggap sebagai istilah yang menggerunkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Peluncuran Sambutan 120 Tahun Jabatan Audit Negara di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.
Anwar turut menekankan kepentingan memastikan sistem audit tidak dirasa membebankan rakyat, termasuk dari sudut prosedur walaupun bertujuan memperbaiki kelemahan sedia ada.
Perdana Menteri juga mahu pelaksanaan hasil audit sampai ke peringkat bawah bagi mengelak timbulnya kekeliruan dan keresahan dalam kalangan rakyat.
Beliau mengakui setiap langkah pembaharuan sering berdepan tentangan, khususnya daripada pihak yang sudah selesa dengan penyelewengan, namun menegaskan keperluan ikhtiar baharu yang lebih mesra rakyat.
Justeru, Perdana Menteri mahu Ketua Audit Negara serta seluruh warga JAN lebih mendekati, memahami dan menyantuni rakyat bagi menjelaskan sistem audit adalah langkah proaktif dan ikhtiar untuk penambahbaikan, bukan sesuatu yang menggerunkan.
“Kita tidak mahu tanggapan sistem audit itu membebankan. Ia mesti difahami sebagai usaha memperbaiki, meningkatkan ketelusan dan memberi faedah kepada rakyat,” katanya.
Walaupun berbangga dengan prestasi JAN, Anwar berharap pendekatan baharu seperti pendigitalan perkhidmatan serta usaha turun padang dapat diperluaskan supaya audit lebih difahami dan diterima masyarakat.
Katanya, sistem audit perlu bersifat dinamik dan tidak terikat dengan pemikiran lama, selain memerlukan pasukan yang sentiasa berfikir dan mencari jalan untuk menambah baik kelemahan, termasuk mengenal pasti ruang kebocoran serta punca kelewatan tindakan.-BH Online
