SHAH ALAM: Projek ternakan babi di Bukit Tagar, Hulu Selangor dibatal dan ditangguhkan sementara lokasi alternatif atau kaedah yang lebih sesuai ditemui.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata, keputusan berkenaan dibuat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) minggu lalu selepas Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Izham Hashim memaklumkan terdapat bantahan keras berhubung projek terbabit.
“Sebenarnya sebelum PM (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) maklum pada kita (cadangan batalkan dahulu projek), memang MMKN memberikan arahan untuk mencari alternatif kawasan kerana kita lihat ada bantahan keras di Bukit Tagar.
“Kemudian diikuti dengan cadangan PM yang saya sambut baik. Tapi kita tidak akan maklumkan lagi kawasan-kawasan itu ataupun cadangan-cadangan lain kerana kita belum putuskan lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Menteri Besar Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, hari ini.
Sementara itu, Amirudin mengakui rancangan kerajaan negeri itu diumumkan terlalu awal sehingga mencetuskan pelbagai perdebatan.
“Memang isu ini agak separuh masak sebab apa-apa pun belum dihantar tapi (kelihatan) macam kita dah nak pacak (bina) semalam atau hari ini.
“Tidak mengapa, kita belajar daripada hal tersebut mungkin ada yang terlebih umum, agak mendahului yang sepatutnya penglibatan dengan pengusaha perlu dibuat,” katanya.
Beliau berkata, Anwar memaklumkan cadangan supaya projek berkenaan dibatalkan menerusi panggilan telefon ketika beliau berada di luar negara untuk pemukiman sebuah agensi kerajaan negeri.
Katanya, cadangan projek ternakan babi di Bukit Tagar dilakukan bagi menangani masalah pencemaran yang berlaku di Tanjong Sepat, Kuala Langat sejak belasan tahun lalu.
“Kita ikut nasihat PM, sebab isu ini dah melampaui daripada hal dan realiti sebenar. Tak apalah kita tangguh dan kita batalkan buat sementara, sebelum kita dapat alternatif tapak ataupun kaedah lain,” katanya.
Perdana Menteri pada Jumaat lalu berkata mesyuarat Kabinet berpandangan bahawa isu berkenaan membabitkan faktor persekitaran dan keresahan rakyat pelbagai kaum di sekitar kawasan baharu itu harus diberi perhatian.
Sehubungan itu beliau mencadangkan supaya projek tersebut dibatalkan terlebih dahulu.-BH Online
