Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BUKIT MERTAJAM, 24 Januari – Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus memperkukuh agenda pendigitalan dan bandar pintar melalui penubuhan Seberang Perai ASPIRE Centre (SPACE) yang berfungsi sebagai pusat operasi bersepadu Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata penubuhan tersebut membolehkan pengurusan bandar pintar dilaksanakan secara lebih cekap melalui integrasi data, sistem aduan pintar, pemantauan trafik, keselamatan awam serta pengurusan perkhidmatan bandar secara masa nyata.

Menurut beliau, pendekatan itu selari dengan keperluan semasa yang menuntut teknologi dan pendigitalan diterjemahkan kepada peningkatan kecekapan perkhidmatan awam, ketelusan tadbir urus serta kesejahteraan rakyat.

“Teknologi serta digitalisasi perlu diterjemahkan kepada peningkatan kecekapan perkhidmatan awam, ketelusan tadbir urus dan kesejahteraan rakyat.

“Penubuhan SPACE sebagai pusat operasi bersepadu MBSP bakal memperkukuh pengurusan bandar pintar melalui integrasi data, sistem aduan pintar, pemantauan trafik, keselamatan awam serta pengurusan perkhidmatan bandar secara masa nyata, sekali gus meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada seluruh warga Seberang Perai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seberang Perai Aspire Centre (SPACE) dan MBSP Santuni Komuniti di pekarangan Menara Bandaraya MBSP di sini.

Majlis berkenaan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri turut menyasarkan pemasangan 5,000 unit kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh negeri menjelang Oktober 2026, termasuk 1,000 unit di Seberang Perai, bagi memperkukuh aspek keselamatan awam.

Kon Yeow berkata inisiatif berkenaan dilaksanakan selaras dengan penggunaan teknologi pintar seperti internet benda (IoT), ‘big data’ dan kecerdasan buatan (AI) bagi mewujudkan persekitaran bandar yang lebih selamat dan responsif, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan pihak berkuasa tempatan.

SPACE menyediakan gambaran menyeluruh operasi di bandar Seberang Perai secara langsung dilengkapi dengan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) bagi memantau pergerakan keluar masuk kenderaan serta menyokong penguatkuasaan pembuangan sampah dan larangan pergerakan kenderaan.

CCTV dipasang di 11 lokasi strategik di Seberang Perai antaranya Bandar Sunway, Bandar Perda dan Taman Chai Leng.-Berita RTM