Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BUTTERWORTH: Pembinaan bangunan baharu Hospital Seberang Jaya (HSJ) setinggi sembilan tingkat bernilai RM371 juta membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam usaha memperkukuh sistem penjagaan kesihatan awam negara, khususnya bagi penduduk Seberang Perai dan Pulau Pinang amnya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata HSJ dikategorikan sebagai Hospital Jenis 2, iaitu Hospital Pakar Major berfungsi sebagai Hospital Utama bagi Hospital Kluster Seberang Perai.

Hospital Kluster Seberang Perai merangkumi Hospital Bukit Mertajam (HBM), Hospital Kepala Batas (HKB) dan Hospital Sungai Bakap (HSB), selain pusat rujukan utama bagi perkhidmatan kesihatan di Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS). 

Beliau berkata, bangunan baharu berkenaan mula beroperasi pada 5 Mei tahun lalu, dilengkapi dengan fasiliti moden merangkumi penambahan 316 katil baharu, menjadikan keseluruhan 729 katil.

Selain itu, enam dewan bedah tambahan, tujuh katil unit rawatan rapi (ICU) serta 16 katil Cardiac Rehabilitation Ward, khusus bagi Perkhidmatan Kardiologi Kanak-Kanak.

“Bangunan baharu ini bukan sahaja menambah ruang rawatan, malah turut menyokong aliran perkhidmatan pesakit yang lebih terancang dan efisien, di samping menyediakan persekitaran kerja yang lebih selamat, selesa dan kondusif kepada warga hospital.

“Ini selaras dengan usaha berterusan dalam meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat. Melalui naik taraf ini, penduduk Seberang Perai tidak perlu lagi mengharungi kesesakan di jambatan untuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP) semata-mata bagi mendapatkan rawatan pakar. 

“Fasiliti ini membawa perkhidmatan kepakaran lebih dekat kepada rakyat, merealisasikan prinsip closer-to-home,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Baharu HSJ, di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan bangunan berkenaan pada majlis turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim serta Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Dzulkefly berkata, hasil sokongan Kerajaan MADANI, Kementerian Kesihatan (KKM) telah menerima dana pembangunan berjumlah RM191.8 juta tahun ini, khusus untuk Pulau Pinang.

Sehubungan itu, katanya, sebanyak RM16.6 juta sedang disalurkan segera bagi menaik taraf fasiliti kesihatan sedia ada, RM9.3 juta untuk membaiki klinik daif serta membina Wellness Hub.

Selain itu, Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan di bawah Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk melaksanakan Kajian Awalan Pembinaan Bangunan Baharu (Tambahan) HKB.

KKM juga, katanya, sedang berunding dengan kerajaan negeri bagi mendapatkan tanah atau tapak bersebelahan hospital sedia untuk tujuan pembangunan semula HSB, manakala perancangan membangunkan semula HBM turut sedang diteliti.

Beliau berkata, KKM dan Jabatan Kerja Raya (JKR) komited menyegerakan projek klinik yang telah diluluskan, antaranya Klinik Kesihatan (Jenis 3) Bandar Tasek Mutiara yang dijangka siap penghujung tahun ini.

Selain itu, pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Mak Mandin yang bermula pada September 2025 dan dijangka siap pada September 2028.

Projek lain, katanya, adalah proses reka bentuk Klinik Kesihatan (Jenis 2) Bayan Lepas yang turut disegerakan bagi membolehkan proses tender dimulakan secepat mungkin.

Dzulkefly berkata, Perdana Menteri juga telah meluluskan pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 2) Kubang Semang dan Kompleks Kesihatan Bersepadu SPT di bawah Belanjawan 2026 dengan kos keseluruhan RM94.6 juta.-BH Online