Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JOHOR BAHRU: Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak RM9 juta bagi pemberian bantuan sekali beri (one-off) RM400 kepada kira-kira 20,000 mahasiswa anak Pahang yang layak di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) terpilih di seluruh negara, tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata peruntukan itu meningkat sebanyak RM1 juta berbanding tahun lalu.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa komited membela kebajikan serta masa depan mahasiswa yang melanjutkan pengajian di IPT menerusi Inisiatif Makmur (IM) Pahang Kluster Siswa 2026.

“Bantuan ini ditambah baik secara berperingkat sejak 2022 bermula RM200, dinaikkan kepada RM300 pada 2023, dan RM400 sejak 2025 serta dikekalkan bagi tahun ini sebagai komitmen berterusan,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran IM Pahang Kluster Siswa 2026 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini, hari ini.

Seramai 600 pelajar anak Pahang hadir ke majlis berkenaan. 

Turut hadir Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Naib Canselor UTM Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri menerusi Yayasan Pahang turut menyediakan sokongan pendidikan lain termasuk Geran Bantuan Pelajaran one-off sebanyak RM700 kepada pra siswazah dan RM1,200 kepada pasca siswazah.

“Turut ditawarkan kemudahan pinjaman pendidikan serta biasiswa Skim Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar (BKMB) dan Skim Pelajar Cemerlang (SPC),” katanya.

Beliau berkata, anak Pahang di IPT juga diingatkan supaya bersikap matang, bijak menilai antara fakta dan sentimen, serta tidak terperangkap dengan permainan persepsi yang boleh menjejaskan kestabilan dan keharmonian negeri.

“Kerajaan negeri akan terus menjadikan kebajikan mereka sebagai agenda utama dalam melahirkan generasi berilmu, berdaya saing dan berakhlak tinggi demi membina Pahang yang lebih makmur dan sejahtera,” katanya.-BH Online