Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

IPOH: Kerajaan Perak menjadikan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) sebagai kayu ukur dan ujian sebenar keupayaan sistem penyampaian kerajaan negeri dari peringkat dasar hingga peringkat paling hadapan berurusan dengan rakyat dan pelawat.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata kempen sempena Tahun Melawat Malaysia itu mesti dianggap sebagai tanggungjawab bersama jentera kerajaan, dengan setiap jabatan, agensi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berperanan.

Katanya, sistem penyampaian pada peringkat paling hampir dengan pelawat harus diperkukuh terutama isu kebersihan, penyelenggaraan, papan tanda, penguatkuasaan dan perkhidmatan kaunter, selain galakan untuk setiap PBT serta pentadbiran daerah untuk menonjolkan keunikan destinasi utama masing-masing.

“PBT dan pentadbiran daerah perlu melihat sebagai pengurus destinasi, bukan hanya pentadbir kawasan. Pelancong tidak hanya melawat pejabat kerajaan, mereka merasai pengalaman di daerah dan layanan masyarakat setempat,” katanya.

Saarani berkata, pelancong luar tidak hanya menilai melalui iklan atau slogan, sebaliknya keadaan jalan, kebersihan, kecekapan PBT, parkir selesa, sikap pegawai di kaunter dan kepantasan kerajaan menyelesaikan masalah kecil yang memberi kesan besar kepada pengalaman mereka.

Menurutnya, Tahun Melawat Malaysia 2026 perlu menjadi cermin kepada tahap profesionalisme dan kesiapsiagaan kerajaan yang memaparkan imej Perak di serata platform terutama media sosial, iaitu tempat paling biasa warga maya menceritakan pengalaman melancong.

Katanya, justeru semua pihak tidak boleh beroperasi secara silo atau menganggap kempen hanya tanggungjawab satu jabatan atau satu portfolio, sebaliknya tanggungjawab bersama jentera kerajaan.

“Setiap jabatan, agensi dan PBT mempunyai peranan sama ada secara langsung atau tidak langsung. Janganlah ada mengatakan, ‘ini bukan urusan kami’ kerana setiap kelemahan sistem akhirnya memberi kesan kepada imej negeri secara keseluruhan,” katanya.

Saarani berkata. caj perkhidmatan tempatan (CPT) bagi tempahan bilik penginapan di seluruh negeri disasarkan menjana hasil lebih tinggi, iaitu RM6 juta berbanding RM5 juta tahun lalu. 

Beliau berkata, pengukuhan hasil negeri di bawah hasil bandar dan sektor pelancongan boleh dicapai sekiranya diurus lebih sistematik, sekali gus menyumbang ke arah sasaran hasil negeri RM1.48 bilion bagi 2026.-BH Online