BANGI, 23 Januari – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang kelemahan dan keterlanjuran dalam isu kontrak serta tender perolehan, termasuk melibatkan kementerian bawah pentadbirannya.
Meskipun tekanan dan kawalan telah diperkukuh, masih terdapat kelemahan perlu ditangani secara tegas dan menyeluruh.
“Petang ini saya akan menerima laporan daripada Ketua Audit Negara. Kemudian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pengubahan wang haram (AMLA), Bank Negara (BNM) harus teruskan tugas mereka membersihkan baki-baki kerenah rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
“Walaupun begitu kuat kita beri tekanan dan paksaan, kita nampak masih ada kelemahan dan keterlanjuran. Jadi harus kita tangani,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan SPRM berhubung siasatan melibatkan beberapa kementerian berkaitan isu perolehan.
Perdana Menteri turut menyentuh isu e-sisa atau e-waste, yang menurutnya tidak sepatutnya berlaku memandangkan dasar dan ketetapan kerajaan adalah jelas melarang Malaysia dijadikan lokasi pembuangan sisa elektronik.
“Saya tidak faham mengapa boleh dimasukkan kerana pandangan dan ketetapan kita dan kementerian ialah melarang sama sekali Malaysia menjadi tempat pembuangan e-waste,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan semua isu perolehan perlu dipantau dengan rapi dan memberi laluan penuh kepada agensi penguat kuasa untuk menjalankan siasatan tanpa sebarang campur tangan.
“Mereka harus teruskan tugas membersihkan baki-baki kerenah rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri menunaikan Solat Jumaat di Surau Al-Amin, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi di sini.-Berita RTM
