Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 23 Januari – Industri pelancongan negara terus diperkukuh melalui pendekatan tadbir urus yang lebih telus dan berintegriti, sejajar dengan keperluan pasaran global yang semakin mencabar.

Perkara itu dinyatakan oleh Datuk Seri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, sempena Sidang Kemuncak Keahlian MATTA 2026 di ibu negara.

Sidang kemuncak tersebut menyaksikan pelancaran rasmi inisiatif TRUST: Powered by MATTA, satu usaha baharu industri untuk memperkukuh tadbir urus, akauntabiliti, serta meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap sektor pelancongan negara.

“MOTAC menyambut baik inisiatif TRUST oleh MATTA. Ia mencerminkan apa yang sentiasa kami tekankan: keselamatan, kualiti perkhidmatan, nilai kepada pelanggan dan integriti industri,” katanya.

Inisiatif ini menekankan penegakan piawaian profesional, perlindungan pengguna, dan kelestarian jangka panjang industri pelancongan. MATTA 2026 turut memberi tumpuan kepada daya saing industri, inovasi teknologi termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI), serta kepentingan kerjasama strategik antara pemain industri.

Datuk Seri Tiong menambah, usaha penambahbaikan termasuk kepolisan pelancongan dan proses pelesenan yang lebih efisien sedang dijalankan bagi memastikan pengendali sah tidak terhalang oleh kelewatan yang tidak perlu.

Beliau turut menggesa semua pemain industri untuk bersatu dalam mempromosikan Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Semua pihak mesti bekerjasama, barulah kita dapat memasarkan industri pelancongan kita dengan lebih baik. MATTA berperanan membentuk pasaran, pengalaman pelawat, dan reputasi industri – satu tanggungjawab besar,” katanya.

Selain itu, beliau menekankan keperluan memperbaharui produk pelancongan negara, termasuk memberi fokus kepada pelancongan budaya dan gastronomi, bagi memastikan Malaysia kekal relevan dan menarik untuk kunjungan semula pelancong.

Sidang Kemuncak Keahlian MATTA 2026 menjadi platform penting untuk menyatukan suara industri, memperkukuh keyakinan pasaran, dan menyokong aspirasi Malaysia sebagai destinasi pelancongan berdaya saing sempena Visit Malaysia 2026.-Berita RTM