Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 23 Januari – Inisiatif RESET diperkenalkan bagi memperkasakan rakyat Malaysia membuat keputusan kesihatan yang lebih bijak, meningkatkan ketelusan kos rawatan, serta memodenkan sistem penjagaan kesihatan negara.

Menurut Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan, RESET atau Revamp MHIT menekankan empat elemen utama iaitu ketelusan harga, pengukuhan sistem kesihatan digital, peluasan pilihan kos efektif, dan transformasi mekanisme pembayaran.

“Keputusan individu bukan sahaja memberi impak kepada kewangan dan kesihatan peribadi, tetapi juga mempengaruhi kos keseluruhan penjagaan kesihatan dan premium insurans,” kata beliau.

Untuk memudahkan pengguna, Finance Education Network (FEN) menyediakan Panduan Mudah MHIT, manakala Insurance and Takaful Association bakal melancarkan kalkulator insurans kesihatan untuk membantu rakyat merancang simpanan bulanan bagi premium dan co-payments.

Selain itu, 26 prosedur perubatan biasa di hospital swasta kini dipaparkan dengan julat harga mengikut lokasi, kumpulan umur, dan tempoh purata pesakit dirawat (Average Length of Stay), membolehkan rakyat membuat perbandingan kos sebelum mendapatkan rawatan.

Dr. Dzulkefly menegaskan bahawa sistem insurans sahaja tidak mencukupi untuk menangani inflasi perubatan. “Kita mesti memodenkan sistem penjagaan kesihatan keseluruhan dan memastikan inovasi kekal berpusatkan pesakit,” tambah beliau.

Antara inisiatif utama 2026 termasuk membuka pasaran penjagaan mampu milik, menyemak lesen dan peraturan hospital swasta, serta merombak struktur bil hospital supaya lebih telus, adil, dan kos efektif bagi memastikan pesakit memahami sepenuhnya kos rawatan mereka.-Berita RTM